Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 19 Mei – Pengalaman selama 16 tahun dalam pembangunan pelajar menjadi pemangkin kepada Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mursyid Arshad untuk terus memperkukuh semangat keserakanan belia dan dewasa dalam membentuk ‘Jiwa Putra’ dalam kalangan pelajar UPM.
Beliau yang menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor (AFNC) Kategori Pembangunan Pelajar sempena Majlis Gemilang Putra (MGP) 2026 berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan peribadi, malah menjadi simbol sokongan UPM dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) terhadap usaha memperkasa pembangunan pelajar secara holistik.
“Ini sebenarnya peluang untuk saya terus berbakti kepada agenda pembangunan pelajar UPM serta menjadi lonjakan kepada pegawai akademik dan staf universiti untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan pelajar,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman sebagai felo kolej kediaman, pengetua kolej dan kini Pengarah PKPP banyak membuka ruang untuk memahami potensi sebenar mahasiswa serta pendekatan terbaik membimbing generasi muda masa kini.
“Pelajar UPM mempunyai potensi besar namun masih memerlukan bimbingan golongan dewasa sebagai pembimbing, pemudah cara dan rakan strategik dalam proses pembentukan sahsiah diri.
“Pelajar bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam sahsiah. Kita perlu menggalakkan konsep ‘youth-adult partnership’ dan ‘youth-centred programming’ supaya pelajar sendiri menjadi ‘arkitek’ kepada kejayaan mereka dan masa depan negara,” katanya.
Beliau mengakui cabaran pembangunan pelajar kini semakin kompleks berikutan perubahan karakter generasi muda berbanding 16 tahun lalu memerlukan pendekatan lebih inklusif dan mesra pelajar.
“Kita tidak boleh melihat pelajar sebagai objek atau hanya mengharapkan mereka mengikut arahan semata-mata. Mereka perlu dilibatkan bersama dalam membuat keputusan dan melaksanakan program dari awal hingga akhir,” katanya.
Dalam usaha memupuk patriotisme dan jati diri mahasiswa, Profesor Madya Dr. Mursyid berkata, PKPP, UPM turut menerajui pelaksanaan beberapa modul utama seperti pengukuhan amalan Rukun Negara, Program Putra Profesional dan inisiatif Skuad Putra yang menyasarkan pelajar tahun pertama hingga tahun akhir.
Beliau berkata, elemen Rukun Negara dan nilai ‘Jiwa Putra’ yang menjadi aspirasi Naib Canselor UPM diterapkan melalui pelbagai program bagi membentuk graduan Berilmu, Berbakti dan mempunyai DNA UPM yang kukuh.
“Melalui program tersebut kita mahu memupuk rasa cinta kepada universiti dan negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga mempunyai jiwa berbakti,” katanya.



.jpg)


