| Universiti Putra Malaysia

"Bersyukur dapat tempat di ASPer UPM" - Muhammad Adni tekad raih PNGK 4.00

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

SERDANG, 26 Jun – “Peluang menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan satu rezeki yang amat saya syukuri. Saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik,” kata Muhammad Adni Yusuf Mohamad Kamal, 18, yang berjaya melanjutkan pengajian dalam Program Asasi Sains Pertanian (ASPer), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2026/2027.

 

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak dan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak itu berkata, UPM menjadi pilihannya kerana reputasi universiti tersebut yang cemerlang dalam bidang sains pertanian dan perubatan veterinar.

 

“Selain meminati bidang farmasi saya turut berhasrat melanjutkan pengajian dalam Program Doktor Perubatan Veterinar di UPM pada peringkat Bacelor dan universiti ini menjadi pilihan saya sebagai destinasi pengajian,” katanya.

 

Tambah beliau, dorongan daripada seorang senior sekolah yang kini sedang melanjutkan pengajian di Fakulti Kejuruteraan, UPM turut menjadi pemangkin semangat untuk memilih universiti ini.

 

“Apabila mengetahui ada senior dari sekolah yang belajar di sini saya rasa lebih yakin dan tidak berasa keseorangan untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa di kampus ini,” katanya.

 

Muhammad Adni berkata, beliau juga tidak sabar untuk menerokai kehidupan di ‘Menara Ilmu’ ini serta mengenali rakan-rakan baharu daripada pelbagai latar belakang.

 

“Saya berharap dapat menimba ilmu, membina persahabatan baharu dan menyertai pelbagai aktiviti yang dapat mengembangkan potensi diri sepanjang berada di sini,” katanya.

 

Mengulas mengenai perancangannya sepanjang mengikuti pengajian di ASPer, UPM, beliau berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan menyasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 sebagai persediaan merealisasikan impian menyambung pengajian dalam Program Doktor Perubatan Veterinar di UPM.

 

“Saya berharap dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelajaran, memperoleh keputusan cemerlang dan seterusnya mencapai cita-cita menjadi doktor perubatan veterinar,” katanya.

XZKGOAp~