| Universiti Putra Malaysia

Empat Anak Borneo Pilih UPM Teruskan Pengajian

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 27 Sept – Empat anak Borneo dari Sabah dan Sarawak memilih Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai destinasi melanjutkan pengajian tinggi, masing-masing membawa minat, cita-cita dan harapan untuk membina pengalaman baharu sebagai warga universiti.

 

Berasal dari Kunak, Sabah, Alam Shah Putra bin Abbas, 20, merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak Jaya dan memilih bidang Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu di UPM berdasarkan minatnya terhadap Bahasa Melayu.

 

Alam Shah berkata, UPM menjadi pilihannya selepas beliau membuat kajian mengenai universiti berkenaan serta mendapat cadangan daripada keluarga, khususnya kerana kekuatan UPM dalam bidang Bahasa Melayu.

 

“Saya memang minat Bahasa Melayu. Saya membuat kajian dan keluarga turut mencadangkan UPM kerana universiti ini bagus untuk subjek Bahasa Melayu.

 

“Ini merupakan kali pertama saya berjauhan dengan keluarga. Saya mahu mencari pengalaman baharu dan membina diri menjadi orang yang lebih baik,” katanya.

 

Sementara itu, Max Danny Willie, 20, dari Sandakan, Sabah, memilih bidang Linguistik Melayu kerana minatnya terhadap bahasa selain mempunyai hasrat untuk menyumbang kepada pemeliharaan bahasa dan budaya masyarakat asalnya.

 

 

Sebagai individu daripada suku Melanau, beliau melihat pengajian dalam bidang linguistik sebagai peluang untuk memahami dan mempertahankan bahasa ibunda, khususnya dalam kalangan generasi muda.

 

“Saya memang minat dengan perkara berkaitan bahasa. Saya mengambil Linguistik Melayu kerana mempunyai cita-cita untuk mempertahankan bahasa-bahasa ibu daripada masyarakat sendiri.

 

“Saya mahu menyumbang kepada kelestarian budaya di negeri saya sendiri,” katanya.

 

Pengalaman melanjutkan pengajian di UPM juga menjadi kali pertama beliau keluar dari Sabah tanpa ditemani ibu bapa, sekali gus memberi peluang untuk belajar berdikari dan membina keberanian dalam diri.

 

Turut melangkah ke UPM ialah Aalya Olmys Aldrian dari Papar, Sabah, yang memilih program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) sebagai bidang pengajian.

 

“Saya berharap dapat memperoleh Ijazah Kelas Pertama. Pada masa sama, saya mahu membina lebih banyak jaringan, berkenalan dengan lebih ramai orang dan keluar daripada zon selesa sepanjang berada di UPM,” katanya.

 

 

Beliau turut menyifatkan kemasukannya ke UPM sebagai satu cabaran kepada diri selepas membuat kajian bahawa pengambilan pelajar bagi program TESL UPM adalah terhad, sekali gus mendorongnya untuk mencabar kemampuan diri.

 

Dari Sibu Sarawak pula, Samantha Chiong Xin Yu, 19, memilih program Bachelor of Science Mathematics with Honours di UPM berdasarkan minatnya terhadap Matematik sejak kecil serta cita-cita untuk menjadi seorang guru Matematik.

 

“Saya memilih Bachelor of Science Mathematics with Honours sebab saya ada cita-cita untuk menjadi seorang guru Matematik. Saya memang minat Matematik sejak kecil.

 

“UPM memang menjadi pilihan pertama saya dan saya gembira kerana mendapat peluang untuk belajar di sini,” katanya.

 

Samantha berkata, pengalaman mengikuti program matrikulasi di Negeri Sembilan sebelum ini menjadikannya sudah biasa berjauhan daripada keluarga, namun kemasukannya ke UPM merupakan pengalaman pertama sebagai anak dalam keluarganya yang keluar dari Sarawak untuk melanjutkan pengajian.

 

 

Kehadiran empat anak Borneo ini menambah kepelbagaian latar belakang pelajar baharu UPM yang datang dari pelbagai negeri untuk melanjutkan pengajian, membina jaringan dan pengalaman baharu serta mengejar cita-cita masing-masing di peringkat pengajian tinggi.

 

XZKVSA~