| Universiti Putra Malaysia

Fokus bina kualiti diri, integriti dan kesungguhan dalam kerja - Penerima Anugerah Setia Putra

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 22 Mei - “Jangan terlalu cepat mengejar pengiktirafan atau kedudukan, tetapi fokuslah kepada usaha membina kualiti diri, integriti dan kesungguhan dalam bekerja.”

 

Itu pesanan penuh makna daripada Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman yang menerima Anugerah Setia Putra selepas lebih dua dekad menabur bakti di ‘Menara Ilmu’ pada Majlis Gemilang Putra 2026, baru-baru ini.

 

Beliau yang kini Mufti Pulau Pinang dan dilantik pada 1 Julai 2024 berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar penghargaan kepada dirinya, sebaliknya amanah besar dalam meneruskan perjuangan menyebarkan ilmu dan membentuk masyarakat.

 

“Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan ini. Saya melihat anugerah ini bukan sebagai penghargaan kepada individu semata-mata, tetapi penghormatan kepada amanah ilmu dan tanggungjawab yang dipikul sepanjang berada di UPM,” katanya.

 

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki memulakan perjalanan di UPM sebagai tutor pada tahun 1997 sebelum dilantik sebagai pensyarah tetap pada 2005.

 

Sepanjang hampir 30 tahun bersama universiti itu, beliau mengakui pengalaman paling bermakna adalah peluang mendidik dan membimbing pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik malah dari sudut pembangunan insan dan nilai kehidupan.

 

Tambah beliau, seorang pensyarah bukan hanya menyampaikan ilmu di bilik kuliah, tetapi turut berperanan membentuk pemikiran, akhlak dan kefahaman masyarakat.

 

“Antara perkara yang paling memberi kepuasan ialah apabila melihat bekas pelajar berjaya dalam bidang masing-masing dan masih mengekalkan hubungan yang baik dengan guru mereka,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa amanah, keikhlasan dan kesedaran bahawa pekerjaan merupakan satu bentuk ibadah menjadi kunci utama untuk terus istiqamah dalam perkhidmatan.

 

“Apabila tugas dilihat sebagai amanah untuk menyebarkan ilmu dan memberi manfaat kepada manusia, ia akan melahirkan rasa tanggungjawab dan kesungguhan yang berterusan,” katanya.

 

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki berkata, perjalanan Panjang beliau  itu tidak mungkin dapat dilalui tanpa sokongan keluarga, rakan sekerja dan pihak universiti yang sentiasa menjadi sumber kekuatan ketika berdepan cabaran tugas dan tanggungjawab.

 

“Hrapan saya agar generasi muda serta warga UPM yang baharu memulakan kerjaya akan terus menjadikan ilmu sebagai medan berbakti kepada masyarakat dan tidak pernah berhenti belajar demi membina masa depan yang lebih bermakna,” katanya.

XZKVFAn~