| Universiti Putra Malaysia

Kekurangan fizikal bukan penghalang Nathasa genggam impian di UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 



SERDANG, 26 Sept  – Ketiadaan tangan kiri sejak lahir tidak menghalang Nathasa Juminto, 20, daripada membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan batasan untuk mencapai kejayaan apabila beliau berjaya melanjutkan pengajian dalam program Bacelor Kewangan Gunaan dengan Kepujian di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Anak kedua daripada tiga beradik itu kini ditawarkan melanjutkan pengajian dalam program tersebut selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kajang High School.

 

Beliau berkata, kekurangan fizikal bukanlah alasan untuk membataskan potensi diri kerana setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri yang menjadikan mereka istimewa.

 

“Saya percaya semua orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada orang yang kekurangannya dapat dilihat secara fizikal seperti saya tetapi ada juga yang mempunyai kekurangan yang tidak dapat dilihat secara luaran.

 

“Bagi saya setiap kekurangan pasti ada kelebihannya. Saya percaya saya juga mempunyai kelebihan dalam bidang lain dan perlu terus mengembangkan potensi diri,” katanya.

 

Nathasa berkata, beliau memilih untuk meneruskan kehidupan dengan tenang dan menerima keadaan dirinya dengan hati yang terbuka kerana percaya bahawa setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

 

“Saya berpandangan jika seseorang yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal atau mental juga mampu menyerlah dalam bidang yang diminati melalui bakat, usaha dan kebolehan masing-masing,” katanya. 

 



Selain itu, minat mendalam terhadap bidang kewangan menjadi antara faktor utama yang mendorong Nathasa memilih UPM sebagai destinasi pengajian tinggi.

 

“Saya memilih program pengajian saya ini setelah melakukan beberapa rujukan bagi memahami struktur dan fokus program berkenaan yang menawarkan pengkhususan dalam bidang kewangan.

 

“Saya memang berminat dengan bidang kewangan dan saya dapati program pengajian ini mempunyai fokus yang khusus dan sesuai dengan minat saya. Sebab itu saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang ini di UPM,” katanya.

 

Mengakui perjalanan untuk mencapai tahap ini bukanlah mudah, Nathasa berkata, sokongan rakan-rakan sepanjang zaman persekolahan banyak membantunya menghadapi cabaran.

 

“Saya bersyukur kerana tidak pernah berhadapan dengan stigma atau diskriminasi disebabkan keadaan fizikal saya ketika di sekolah malah saya melihat masyarakat kini semakin terbuka untuk menerima individu OKU,” katanya. 

 

Mengulas mengenai matlamatnya sepanjang berada di UPM, Nathasa berkata, beliau mahu membina keyakinan diri yang lebih tinggi dan membentuk pemikiran yang lebih positif dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

 

“Saya mahu meningkatkan keyakinan diri serta menjadi lebih positif dan saya perlu percaya bahawa saya juga mampu berjaya seperti orang lain,” katanya.

XZKTRAq~