| Universiti Putra Malaysia

Kembar seiras pilih ASPer UPM, langkah pertama realisasikan impian bergelar doktor

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

SERDANG, 26 Jun – Ikatan sebagai kembar seiras bukan sahaja menjadikan mereka tidak pernah berpisah sejak kecil malah turut membawa mereka melangkah bersama ke ‘Menara Ilmu’ apabila berjaya ditawarkan Program Asasi Sains Pertanian (ASPer), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2026/2027.

 

Trisaamini a/p Raja Kumar dan adiknya, Trishaini a/p Raja Kumar, 18, dari Johor Bahru, Johor, yakin ASPer UPM merupakan laluan terbaik untuk merealisasikan impian mereka melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Johor Bahru itu berkata, mereka mula mengenali program ASPer UPM ketika di bangku sekolah.

 

Trisaamini berkata, beliau bersama adiknya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan mereka menyambung pengajian di UPM.

 

“Kami bersyukur kerana dapat meneruskan pengajian bersama-sama di UPM. Segala usaha yang kami lakukan selama ini akhirnya membuahkan hasil dan kami amat berterima kasih kepada ibu bapa serta keluarga yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademik kami,” katanya.

 

Selain itu, lebih menguatkan azam mereka ialah inspirasi daripada kakak sulung, Haaripriya a/p A. Raja Kumar, yang kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Trishaini berkata, mereka telah berjanji sejak awal lagi untuk menyambung pengajian di universiti yang sama kerana tidak pernah berjauhan sejak kecil.

 

“Kami sentiasa belajar bersama, melakukan aktiviti harian bersama dan saling memberi semangat dan kami bertekad untuk melanjutkan pengajian di institusi yang sama, dan ASPer UPM menjadi pilihan kami,” katanya.

 

Bagi Trisaamini, pemilihan melanjutkan pengajian program ASPer UPM kerana beliau melihat mampu membuka peluang yang lebih luas untuk melanjutkan pengajian ke Program Doktor Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM.

 

“Cita-cita saya sejak dahulu ialah menjadi seorang doktor. Saya percaya ASPer UPM merupakan platform terbaik untuk saya mencapai impian tersebut kerana laluan ke program perubatan di UPM sangat jelas,” katanya.

 

Trishaini turut berkongsi aspirasi yang sama.

 

“Saya juga bercita-cita menjadi doktor dan saya yakin ASPer UPM merupakan program yang sesuai sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan,” katanya.

 

Trisaamini dan Trishaini berkata, selain memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, mereka juga berazam memperkukuh kemahiran insaniah menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum sebagai persediaan memohon Program Doktor Perubatan pada peringkat Bacelor.

 

“Kami teruja menjadi sebahagian daripada warga Kampus Hijau ini dan berharap pengalaman di UPM dapat membentuk kami menjadi doktor yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang perubatan, malah mampu menyumbang kepada masyarakat,” kata mereka.

 

 

XZKRRAk~