| Universiti Putra Malaysia

Kesihatan mental perlu ditangani berasaskan konteks budaya, persekitaran dan spiritual


Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 4 Sept – Isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia perlu ditangani dengan mengambil kira latar budaya, kepercayaan agama, persekitaran sosial serta pengalaman hidup individu, dan bukan hanya melihatnya sebagai masalah dalaman seseorang.

 

Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Haslinda Abdullah berkata, pendekatan tersebut diketengahkan menerusi Model Eco-Cultural Psychospiritual sebagai mekanisme penyembuhan kesihatan mental yang lebih holistik dan kontekstual.

 

Beliau yang juga Pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, berkata model berkenaan mengintegrasikan tiga elemen utama iaitu persekitaran (eco), budaya (cultural) dan psikospiritual (psychospiritual) dalam memahami serta menangani isu kesihatan mental.

 

“Dalam konteks Malaysia, kita mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama. Apabila kita menangani isu kesihatan mental, kita perlu memahami di mana seseorang itu dibesarkan, bagaimana mereka dibesarkan, budaya yang diamalkan, agama yang dianuti serta persekitaran sosial mereka.

 

“Elemen psikospiritual pula penting kerana agama dan pegangan yang dianuti boleh memberikan makna kepada kehidupan seseorang,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Inaugural bertajuk ‘Pendekatan Model Eco-Cultural Psychospiritual sebagai Mekanisme Penyembuhan Kesihatan Mental’.

 

Tambah beliau, kesejahteraan mental tidak seharusnya dilihat hanya daripada perspektif individu, sebaliknya turut dipengaruhi oleh ekosistem sosial seperti keluarga, komuniti dan keadaan ekonomi, selain nilai budaya serta kepercayaan spiritual.

 

“Individu yang mempunyai makna dan tujuan hidup yang jelas berpotensi untuk bangkit semula selepas melalui fasa sukar berbanding individu yang kehilangan arah dan tidak memahami tujuan kehidupannya.

“Kadang-kadang seseorang itu mungkin jatuh atau berdepan tekanan, tetapi jika dia tahu apa makna hidupnya, dia mempunyai asas untuk bangkit semula,” katanya.

 

Profesor Dr. Haslinda berkata, pendekatan tersebut juga penting dalam konteks masyarakat Malaysia yang masih berdepan stigma terhadap kesihatan mental, termasuk tanggapan bahawa seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental sebagai ‘gila’ atau bahawa masalah berkenaan hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan tertentu.

 

“Kefahaman sedemikian perlu diperbetulkan kerana isu kesihatan mental memerlukan pengenalpastian punca dan intervensi yang bersesuaian dengan keadaan setiap individu. Apabila seseorang sudah mengalami masalah kesihatan mental, kita perlu mengenal pasti terlebih dahulu apakah isu yang dihadapinya dan menanganinya satu persatu.

 

“Kita tidak boleh menganggap semua individu sama kerana setiap orang mempunyai latar belakang dan punca yang berbeza. Sebab itu, pengendalian isu kesihatan mental perlu dilakukan secara dekat, termasuk melalui pendekatan secara individu supaya kita tidak tersalah mengenal pasti masalah,” katanya.

 

Selain itu, terdapat juga keadaan apabila simptom yang dianggap sebagai masalah kesihatan mental sebenarnya berpunca daripada faktor lain seperti ketidakseimbangan  hormon atau aspek fisiologi tertentu yang memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza.

 

Beliau berkata, stigma masyarakat turut menjadi antara cabaran utama kerana sesetengah keluarga masih bimbang sekiranya anak mereka didiagnosis mengalami masalah kesihatan mental.

 

“Lebih lama kita tidak merawat atau menangani masalah tersebut, keadaan boleh menjadi semakin parah. Sebab itu, masyarakat perlu diberikan kefahaman bahawa masalah kesihatan mental bukan sesuatu yang boleh dipermudah atau dianggap sebagai kelemahan seseorang,” katanya.

 

Beliau berkata, kekuatan utama Model Eco-Cultural Psychospiritual adalah penekanannya terhadap keseluruhan ekosistem dalam membantu individu yang berdepan masalah kesihatan mental, selain berpotensi menyokong usaha pencegahan melalui pembentukan persekitaran yang lebih sihat.

 

“Untuk membantu seseorang pulih, kita perlu melihat keseluruhan ekosistemnya. Ia bukan proses yang berlaku dalam masa yang singkat. Ada keadaan yang memerlukan masa setahun atau dua tahun untuk melihat perubahan yang positif dan ia memerlukan konsistensi,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut memperkenalkan Modul E-M-A-S, yang merangkumi elemen Emosi, Masa, Akhlak dan Spiritual sebagai salah satu pendekatan holistik dalam membendung isu kesihatan mental.

 

Modul tersebut memberi penekanan terhadap pengurusan emosi dan masa, pembentukan akhlak serta pengukuhan aspek spiritual sebagai sebahagian daripada usaha membina kesejahteraan diri.

 

Profesor Dr. Haslinda berharap agar masyarakat dapat meningkatkan literasi kesihatan mental dan tidak mudah melabel atau membuat andaian terhadap individu yang menunjukkan tanda-tanda tertentu.

 

“Jangan mudah mengatakan seseorang itu mempunyai masalah kesihatan mental dan pada masa yang sama jangan terlalu mempermudah keadaan mereka dengan mengatakan mereka sengaja berbuat demikian.

 

“Kita perlu mengenali dan memahami dahulu apa yang berlaku sebelum kita dapat membantu serta menanganinya dengan baik,” katanya.

XZKUDAb~