Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 13 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya dalam pemuliharaan ekosistem marin apabila kepakaran penyelidiknya dimanfaatkan untuk memperkasa kesedaran komuniti mengenai kepentingan ekosistem rumput laut menerusi Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) Fasa 4: Kesedaran Kepentingan Rumput Laut, baru-baru ini.
Program anjuran Yayasan PETRONAS dengan kerjasama strategik Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) itu menyaksikan UPM bertindak sebagai rakan pelaksana dalam membangunkan modul latihan, menyampaikan pengetahuan saintifik serta memperkukuh kapasiti komuniti ke arah pemuliharaan ekosistem rumput laut secara mampan.
Barisan pakar UPM yang terdiri daripada Pensyarah Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Dr. Muta Harah Zakaria; Pensyarah Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM, Prof. Madya Dr. Ferdaus Mohamat Yusuff serta Pensyarah Kanan merangkap Ketua Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, FHAS, UPM, Gs. Dr. Zulfa Hanan Asha’ari, bekerjasama bersama Yayasan PETRONAS dan Jabatan Perikanan Malaysia dalam merancang serta melaksanakan siri latihan dan pembangunan kapasiti komuniti berasaskan hasil penyelidikan dan kepakaran universiti.
Prof. Dr. Muta Harah berkata, ekosistem rumput laut merupakan antara habitat marin yang amat penting kerana menyokong kepelbagaian biologi, menjadi kawasan pembiakan pelbagai spesies hidupan laut serta menyumbang kepada keseimbangan ekosistem pesisir.
“Rumput laut bukan sekadar tumbuhan marin, malah merupakan aset semula jadi yang memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, melindungi kawasan pantai daripada hakisan serta membantu menyerap karbon bagi mengurangkan kesan perubahan iklim. Justeru, usaha pemuliharaan perlu digerakkan secara kolektif dengan penglibatan komuniti yang memahami nilai sebenar ekosistem ini.
“Melalui program CEPA, UPM berkongsi pengetahuan dan hasil penyelidikan dengan masyarakat supaya mereka bukan sahaja memahami kepentingan rumput laut, malah mampu menjadi ejen perubahan yang menyokong usaha pemuliharaan berasaskan sains. Apabila komuniti memiliki pengetahuan dan kesedaran yang tinggi, usaha melindungi ekosistem marin akan menjadi lebih berkesan dan mampan,” katanya.
Tambah beliau, komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam merupakan antara kaedah paling berkesan untuk memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada tindakan di peringkat komuniti.
“Ini penting bagi membina rasa tanggungjawab bersama terhadap pemeliharaan khazanah marin negara,” katanya.
Seramai 25 peserta yang terdiri daripada 19 ahli Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Terengganu serta enam pelatih komuniti saintis menyertai program tersebut bagi meningkatkan kefahaman mengenai peranan rumput laut dalam menyokong biodiversiti marin, keselamatan makanan, perlindungan kawasan pesisir dan kesejahteraan komuniti.
Sepanjang program itu, pelatih komuniti saintis hasil program UPM telah memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kepentingan ekologi rumput laut, ancaman terhadap habitat tersebut serta amalan terbaik dalam pemuliharaan ekosistem marin. Pelatih dan komuniti turut mengadakan sesi perkongsian ilmu dan perbincangan interaktif yang memberi penekanan kepada peranan komuniti dalam menyokong usaha konservasi secara berterusan.
Dalam pada itu, Program CEPA Fasa 4 merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Yayasan PETRONAS dalam memperkasakan agenda pemuliharaan rumput laut melalui pendekatan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Penglibatan aktif UPM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti dalam menghubungkan penyelidikan dengan masyarakat melalui pemindahan ilmu dan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan serta industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk memacu pembangunan lestari dan memelihara kelestarian ekosistem marin negara.

.jpg)


.jpg)
.jpg)
