| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM serlah seni budaya Malaysia di pentas antarabangsa di Sydney

 

SERDANG, 8 Sept – Seramai 10 mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Kelab Seni Tari Badansa membawa seni dan budaya Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi persembahan khas sempena 69th National Day of Malaysia Reception di Sydney, Australia, baru-baru ini.

 

Mahasiswa UPM itu mempersembahkan tiga segmen tarian iaitu Zapin Ya Maulai, Pinakang Garo dan Multicultural (Visit Malaysia) di Four Seasons Hotel, Sydney, atas jemputan Tourism Malaysia Sydney.

 



Program anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia itu menjadi platform kepada mahasiswa UPM untuk memperkenalkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Malaysia kepada tetamu serta delegasi daripada pelbagai negara.

 

Majlis tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Her Excellency Datin Paduka Sharrina Abdullah, selain wakil diplomatik dan delegasi antarabangsa.

 

Pengarah Tourism Malaysia Sydney, Jamilah Abdul Halim berkata, penglibatan mahasiswa dalam persembahan seni budaya di peringkat antarabangsa merupakan antara pendekatan berkesan untuk memperkenalkan keunikan serta kepelbagaian identiti Malaysia kepada masyarakat luar.

 

“Persembahan seni budaya merupakan medium yang berkesan untuk memperkenalkan Malaysia kerana ia dapat menampilkan kepelbagaian budaya dan warisan yang menjadi identiti negara.

 



“Kami amat berbesar hati dapat menampilkan pelajar UPM dalam majlis ini kerana persembahan mereka bukan sahaja menghiburkan tetamu, malah memberikan gambaran mengenai kepelbagaian seni dan budaya Malaysia,” katanya.

 

Pegawai Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Muhammad Amirul Asyraf Mohd Jais berkata, peluang tersebut membuktikan keupayaan mahasiswa UPM untuk berperanan sebagai duta budaya negara di peringkat antarabangsa.

 

“Penglibatan mahasiswa dalam program berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada mereka mempersembahkan seni budaya Malaysia, malah membuka peluang untuk membina keyakinan diri serta memperkukuh kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan.

 

“Lebih membanggakan apabila persembahan tersebut dapat disaksikan oleh delegasi daripada pelbagai negara, sekali gus memperlihatkan peranan mahasiswa sebagai duta kecil Malaysia dalam memperkenalkan identiti dan warisan budaya negara,” katanya.

 

Selain itu, pengalaman tersebut turut memberi peluang kepada para penari meningkatkan keyakinan diri, disiplin dan semangat kerja berpasukan khususnya ketika membuat persembahan dalam majlis rasmi yang melibatkan tetamu dari pelbagai negara.

 

Presiden Kelab Seni Tari Badansa, Vanessa Alexius berkata, peluang membuat persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia di Sydney merupakan pengalaman yang amat bermakna dan membanggakan buat para penari.

 

“Peluang mempersembahkan Zapin Ya Maulai, Pinakang Garo dan Multicultural di hadapan tetamu serta delegasi antarabangsa memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada kami.

 

“Sebagai mahasiswa UPM, saya berasa bangga kerana dapat membawa seni dan budaya Malaysia ke luar negara serta berkongsi keunikan warisan negara bersama masyarakat antarabangsa,” katanya.

 



Bagi penari Kelab Seni Tari Badansa, Jeo Hazel Duanik yang juga pelajar Tahun Dua Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), pengalaman membuat persembahan di Sydney meningkatkan penghargaan beliau terhadap warisan budaya negara.

 

Katanya, sambutan positif daripada tetamu antarabangsa terhadap persembahan yang dibawakan memberikan motivasi kepada mahasiswa untuk terus memelihara dan memperkenalkan seni budaya Malaysia kepada masyarakat dunia.

 

Pelajar Tahun Empat Bacelor Sains Pembangunan Manusia dan Teknologi Maklumat, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Nurin Iman Kamarul Azman, berkata pengalaman tersebut membuktikan bahawa seni tari mampu menjadi medium untuk merapatkan hubungan antara masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

 

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa seni tari bukan sekadar persembahan, tetapi juga satu cara untuk berkongsi identiti dan budaya Malaysia dengan orang lain.

 

“Peluang seperti ini amat berharga kerana dapat mengembangkan keyakinan diri, belajar bekerjasama sebagai satu pasukan dan pada masa sama membawa nama UPM serta Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

XZKSFAj~