
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
SERDANG, 26 Jun – Minat yang mendalam terhadap bidang veterinar mendorong Chris Thien Shi Yen dari Miri, Sarawak sanggup merentasi Laut China Selatan untuk melanjutkan pengajian dalam Program Asasi Sains Pertanian (ASPer), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2026/2027.
Bagi Chris, 18, pemilihan ASPer UPM merupakan langkah pertama untuk merealisasikan cita-citanya menjadi seorang doktor veterinar.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis, Miri itu berkata, beliau telah memasang impian untuk mengikuti ASPer UPM sejak di bangku sekolah selepas mengetahui program tersebut menjadi laluan ke Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM yang terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang berkenaan.
“Saya memang berminat dengan haiwan sejak kecil dan bercita-cita menjadi doktor veterinar. Sebab itu saya memilih Program Asasi Sains Pertanian (ASPer) UPM sebagai laluan untuk mencapai impian tersebut,” katanya.

Beliau yang ditemani abang sulungnya, Philip Thien Shi Yung, yang sentiasa memberi sokongan terhadap hasrat adiknya untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan.
Menurut Chris, kejayaan melanjutkan pengajian ke UPM bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan usaha gigih dan disiplin ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya rajin belajar dan sentiasa memberikan tumpuan kepada pelajaran kerana tahu inilah peluang untuk mengejar cita-cita,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu turut berkongsi keterujaannya menjejakkan kaki ke UPM buat pertama kali.
“Ini kali pertama saya datang ke UPM dan suasana kampus sangat cantik, hijau dan selesa. Saya rasa bertuah kerana dapat belajar di sini,” katanya.
Beliau berharap peluang menyambung pengajian di UPM bukan sahaja membanggakan ibu bapanya, malah menjadi permulaan kepada kejayaannya sebagai doktor veterinar pada masa hadapan.
Sementara itu, Philip berkata beliau dan seluruh keluarga sentiasa menyokong keputusan adiknya memilih UPM kerana yakin dengan reputasi serta kredibiliti universiti tersebut dalam melahirkan graduan berkualiti.
“Saya berharap adik saya akan terus berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian kerana sangat penting kerana bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pada masa depan malah mematangkan pemikiran dan pengalaman dari sudut yang lebih luas,” katanya.



.jpg)
.jpg)

