Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 23 Julai – Syarikat pemula Universiti Putra Malaysia (UPM), MyRimba Sdn. Bhd., mengharumkan nama Malaysia apabila menerima pengiktirafan tertinggi Star of Outstanding pada program World Heritage Education Towards the Future – Innovation of and for Young People sempena Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Ke-48 (48th Session of the World Heritage Committee – WHC48) di Busan, Republik Korea.
Pengiktirafan yang disampaikan oleh World Heritage Institute of Training and Research for the Asia and the Pacific Region (WHITR-AP) di bawah naungan UNESCO itu diberikan kepada F.I.R.E. (Field • Indigenous • Research • Expression) Collaborative Model, model pendidikan warisan yang dibangunkan bersama oleh MyRimba Sdn. Bhd. di bawah Putra Science Park, UPM dan UMK Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (UMK-TRaCe), Universiti Malaysia Kelantan.
Anugerah Star of Outstanding merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada model pendidikan warisan yang menunjukkan kecemerlangan dari aspek inovasi, impak, kerjasama dan sumbangan terhadap pembangunan pendidikan warisan di peringkat antarabangsa
Pengarah Urusan Bersama MyRimba Sdn. Bhd.yang juga Pegawai Penyelidik Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), UPM, Dr. Norfaryanti Kamaruddin berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan pendekatan pendidikan yang dibangunkan melalui kerjasama universiti, agensi kerajaan, organisasi pemuliharaan dan industri mampu memberi impak di peringkat global.
“Pengiktirafan ini amat bermakna kepada MyRimba dan semua rakan kolaborasi yang telah bersama-sama membangunkan Kem Rimba Rimbun dan Model F.I.R.E. Ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memperluaskan pendekatan pendidikan alam sekitar yang menghubungkan hutan, biodiversiti, warisan budaya, pengetahuan tradisional dan identiti komuniti.
“Kami berharap pengalaman dan perspektif antarabangsa yang diperoleh di Busan dapat diterjemahkan kepada pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna untuk generasi muda di Malaysia,” katanya.
Delegasi Malaysia ke program tersebut turut disertai oleh Pengarah UMK Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (UMK-TRaCe), Riana Liau, serta Koordinator Program UNESCO World Heritage Volunteers (WHV) Malaysia, Dr. Muhammad Firdaus Abdul Karim.
Kejayaan itu membuktikan bahawa kolaborasi rentas institusi mampu menghasilkan pendekatan pendidikan yang menghubungkan alam semula jadi, warisan budaya, penyelidikan saintifik dan penglibatan komuniti serta menyumbang kepada agenda pendidikan warisan UNESCO di peringkat serantau dan antarabangsa.
Selain itu, model F.I.R.E. menggabungkan pendekatan Living Laboratory, penyelidikan lapangan, pengetahuan masyarakat tempatan, penceritaan kreatif, pendidikan warisan dan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) bagi menghubungkan alam semula jadi, warisan dan budaya dalam satu kerangka pendidikan yang holistik.
Model tersebut dibangunkan melalui pelaksanaan Kem Rimba Rimbun (Edisi Khas) Belum–Temengor di bawah inisiatif UNESCO World Heritage Volunteers (WHV). Di Malaysia, program WHV diselaraskan oleh UMK-TRaCe dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (MNCU), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Jabatan Warisan Negara (JWN).
Pelaksanaan model tersebut turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara MyRimba Sdn. Bhd., UPM, UMK-TRaCe, Pulau Banding Foundation, Rimbun Foundation dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kerjasama rentas institusi itu berjaya menghasilkan pendekatan pendidikan inovatif yang menghubungkan penyelidikan saintifik, pemuliharaan biodiversiti, warisan budaya dan pembangunan komuniti sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Pencapaian tersebut mengangkat keupayaan syarikat pemula universiti serta penyelidik Malaysia dalam membangunkan model pendidikan bertaraf dunia yang mengintegrasikan pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar, warisan budaya, penyelidikan saintifik dan pemerkasaan belia, selaras dengan aspirasi UNESCO terhadap pembangunan mampan.
Susulan pengiktirafan tersebut, MyRimba akan memperkukuh pelaksanaan Kem Rimba Rimbun dengan memperkenalkan kerangka Nature, Heritage and Culture bagi memperluaskan skop pendidikan daripada pemuliharaan alam sekitar kepada penghargaan terhadap identiti budaya, pengetahuan tradisional, sejarah landskap serta hubungan antara manusia dengan alam semula jadi.
Selain Model F.I.R.E., MyRimba turut membangunkan Skuad Rimba, produk animasi edutainment yang menggabungkan penceritaan kreatif dan pendidikan alam sekitar bagi memupuk kesedaran generasi muda terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan warisan semula jadi.
Dalam pada itu, MyRimba ditubuhkan pada tahun 2021 melalui program Innohub Putra Science Park, UPM bagi menterjemahkan kepakaran penyelidik universiti dalam bidang perhutanan dan alam sekitar kepada pendekatan edutainment yang kreatif. Melalui pembangunan kandungan pendidikan, animasi dan program pembelajaran berasaskan pengalaman, syarikat itu terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar, biodiversiti dan warisan budaya.




.jpeg)

