Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) menganjurkan International Conference on Environmental Forensics 2026 (iENFORCE2026) bagi menghimpunkan pakar, penyelidik, pengamal industri dan pembuat dasar dalam membincangkan penyelesaian terhadap isu alam sekitar yang semakin kompleks.
Konferens bertemakan “Environmental Forensics: Advancing Planetary Health Through Science, Society and Sustainability” itu turut menghimpunkan rakan strategik daripada Jabatan Kimia Malaysia, Universitas Brawijaya dan Universitas Hasanuddin, Indonesia serta Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Profesor Dr. Zamberi Sekawi berkata, bidang forensik alam sekitar memainkan peranan penting dalam mengenal pasti punca pencemaran, membina semula kronologi insiden alam sekitar, menyokong penguatkuasaan peraturan serta melindungi komuniti dan ekosistem.
“Konferens ini amat signifikan kerana menyediakan platform kepada penyelidik, ahli akademik, pengamal, rakan industri dan pembuat dasar untuk bertukar pengetahuan, membangunkan perspektif baharu serta meneroka penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar yang semakin mendesak.
“Kerjasama antara pelbagai pihak amat penting bagi memastikan dapatan dan bukti saintifik dapat diterjemahkan kepada tindakan, dasar dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat serta alam sekitar,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, ChM Marhayani Md Saad, berkata forensik alam sekitar kini menjadi disiplin yang semakin penting dalam menangani cabaran alam sekitar masa kini yang semakin kompleks.
“Bidang tersebut menyediakan asas saintifik untuk mengenal pasti punca pencemaran, menjejaki bahan cemar alam sekitar, menyokong penguatkuasaan peraturan dan seterusnya melindungi kesihatan awam, biodiversiti serta ekosistem semula jadi.
“Kami akan terus memperkukuh keupayaan saintifik di samping membina kerjasama strategik dengan universiti, agensi kerajaan, industri dan organisasi antarabangsa bagi menangani isu alam sekitar yang semakin berkembang,” katanya.
Selain itu, kerjasama strategik seperti iENFORCE2026 penting dalam memperkukuh tadbir urus alam sekitar, meningkatkan daya tahan saintifik dan mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif ke arah masa depan yang lebih mampan serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Lebih 100 peserta telah menyertai konferens yang berlangsung selama dua hari itu secara fizikal dan hibrid. Peserta turut melibatkan penyelidik dan pakar dari luar negara termasuk Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Afrika.
Penglibatan rakan strategik dari dalam dan luar negara pada edisi kali ini turut membuka peluang baharu kepada pembentukan rangkaian penyelidikan dan kerjasama yang lebih kukuh.
Pengerusi iENFORCE2026, Profesor Madya Dr. Mariani Ariffin, berkata penganjuran kali keempat konferens itu membuktikan komitmen UPM dalam meneruskan legasi iENFORCE sebagai platform pertemuan akademia, penyelidik dan pemain industri dalam bidang forensik alam sekitar.
“Forensik alam sekitar merupakan bidang yang bersifat pelbagai dan multidisiplin dengan penyelidikan yang dibentangkan sepanjang konferens melibatkan pelbagai bidang, bukan sahaja sains tetapi juga sains sosial.
“Isu alam sekitar memerlukan kerjasama saintis dan pakar sains sosial kerana banyak masalah berpunca daripada aktiviti manusia. Usaha bersama ini penting untuk mencapai kelestarian dan kemampanan,” katanya.



.jpg)
.jpg)

