Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 5 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) memperkukuh agenda kelestarian kampus menerusi pembangunan ‘Green Living Lab’ hasil kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Maybank Finance Group yang menggabungkan elemen penghijauan, pendidikan alam sekitar dan pembangunan persekitaran terapeutik.
Program ‘Green Living Lab: Program Penanaman Lestari dan Pembangunan Persekitaran Terapeutik’ yang dilaksanakan menerusi Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), UPM itu melibatkan penyertaan 115 kakitangan Maybank Finance Group bersama 10 fasilitator dalam kalangan staf akademik dan sokongan FRSB.

Inisiatif tersebut merupakan antara usaha UPM memperluas kerjasama universiti dan industri dalam menterjemahkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada aktiviti yang memberi impak langsung kepada warga kampus dan komuniti.
Dekan FRSB, UPM, Prof. Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof, berkata kerjasama itu membuktikan institusi pengajian tinggi dan industri mampu berganding bahu dalam menghasilkan perubahan yang bermakna terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
“Program ini merupakan satu sinergi yang amat bernilai antara universiti dan peneraju industri kewangan negara dalam menjayakan agenda kelestarian.
“Kerjasama berasaskan CSR seperti ini membuktikan bahawa gabungan kepakaran universiti dan komitmen sektor korporat mampu menterjemahkan agenda ESG secara praktikal, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan amalan pemeliharaan alam sekitar yang berpanjangan,” katanya.
Group Chief Financial Officer Maybank Finance, Syafiq Abdul Jabbar, berkata penglibatan Maybank Finance dalam program tersebut mencerminkan komitmen berterusan organisasi itu terhadap usaha kelestarian dan pembangunan persekitaran yang memberi manfaat jangka panjang.

“Melalui sinergi ini, Maybank Finance bukan sahaja menzahirkan komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan legasi hijau jangka panjang yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh warga kampus dan komuniti setempat.
“Kami percaya usaha seperti ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam membentuk persekitaran yang lebih hijau dan lestari,” katanya.
Program turut menampilkan sesi perkongsian mengenai konsep landskap berciri salutogenik, iaitu pendekatan pembangunan persekitaran yang menyokong kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental.
Perkongsian tersebut disampaikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FRSB, UPM, Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abdul Shukor yang menjelaskan kepentingan reka bentuk landskap dan persekitaran hijau dalam mewujudkan ruang yang lebih sihat, terapeutik dan kondusif kepada masyarakat.
Kemuncak program menyaksikan upacara penanaman dua batang pokok kundang (Bouea macrophylla) oleh barisan pengurusan FRSB dan Maybank Finance sebagai simbolik komitmen bersama terhadap usaha penghijauan dan kelestarian.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menjalankan aktiviti penanaman di zon yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada konsep Green Living Lab, meliputi Zon Herba dan Rempah-Ratus, Zon Bunga dan Pendebunga, Zon Buah-Buahan serta Zon Pokok Hutan dan Teduhan.

Antara spesies yang ditanam termasuk serai, kunyit, pegaga dan daun kari di Zon Herba dan Rempah-Ratus; melur, cempaka dan siantan di Zon Bunga dan Pendebunga; limau kasturi, jambu air dan mulberi di Zon Buah-Buahan serta spesies tempatan seperti merawan, kelat dan tembusu di Zon Pokok Hutan dan Teduhan.
Peserta turut didedahkan kepada teknik penanaman lestari yang merangkumi penyediaan campuran tanah, kaedah sungkupan dan teknik penyiraman yang betul bagi memastikan pertumbuhan pokok yang optimum.
Turut hadir, Independent Non-Executive Director Maybank, Fauziah Hashim, Shirley Goh, Loy Teck Wooi, Chief Financial Officer, Singapura, Group Financial Controller, Farahzatul Nuzrat, Group Finance Event Advisor, Sharifah Norliza, Ketua Jabatan Senibina Landskap, LAr Mohd Nazri Saidon serta tenaga kerja Putra Design Nucleus (PDN) yang diketuai oleh Dr. Mohd Fabian Hasna.

.jpg)


.jpg)
.jpg)
