Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 16 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat dan Outreach Akademik Funtastic STEM @ Matematik bersama MRSM Kuala Klawang Negeri Sembilan baru-baru ini bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu teknologi masa hadapan.
Program yang menghimpunkan 104 pelajar Tingkatan Lima aliran Sains dari MRSM Kuala Klawang itu menampilkan pendekatan pembelajaran interaktif berasaskan teknologi digital dengan penglibatan 11 pensyarah serta Ketua Jabatan Matematik dan Statistik, UPM.
Ketua Program, Dr. Nur Ezlin Zamri, berkata penganjuran program itu merupakan usaha berterusan jabatan untuk memperkukuh minat pelajar terhadap Matematik dan Statistik melalui pendekatan yang lebih dekat dengan perkembangan teknologi semasa.
“Ramai melihat AI sebagai teknologi yang kompleks, namun hakikatnya AI dibina di atas asas Matematik dan Statistik yang kukuh. Melalui program ini, kami ingin menunjukkan kepada pelajar bahawa konsep seperti pemikiran logik, pengecaman corak, analisis data dan penyelesaian masalah yang dipelajari di sekolah merupakan asas kepada pembangunan teknologi AI,” katanya.
Selain itu, pendekatan berasaskan pengalaman yang diketengahkan dalam program itu diharap dapat mengubah persepsi pelajar bahawa Matematik bukan sekadar mata pelajaran akademik, sebaliknya kemahiran asas yang membuka peluang kepada pelbagai kerjaya dalam bidang teknologi, sains dan inovasi.
Keunikan program tersebut ialah pelaksanaannya secara 100 peratus digital, apabila semua peserta menggunakan telefon pintar atau tablet masing-masing sepanjang aktiviti berlangsung. Pendekatan itu menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif, selain memberi pengalaman langsung bagaimana konsep Matematik dan Statistik diaplikasikan dalam teknologi moden.
Sepanjang program, peserta mengikuti empat aktiviti utama iaitu AI Cluster Match, AI Detective Race, Math Escape Room serta sesi perkongsian mengenai AI dan Kejuruteraan dalam Matematik.
Melalui AI Cluster Match, pelajar diperkenalkan kepada konsep pengelompokan data nombor binari yang menjadi antara asas penting dalam pembelajaran mesin dan AI. AI Detective Race pula menguji keupayaan peserta mengenal pasti corak serta memahami konsep asas kriptografi, manakala Math Escape Room mencabar kemahiran penaakulan logik dan penyelesaian masalah secara kreatif.
Menurut Dr. Nur Ezlin, aktiviti yang dirangka bukan sahaja mengukuhkan kefahaman terhadap Matematik dan Statistik, malah turut membangunkan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis dan kreativiti.
“Kami berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk melihat Matematik sebagai ilmu yang relevan dengan kehidupan dan masa depan mereka. STEM bukan sekadar bidang pengajian, malah merupakan pemangkin kepada pembangunan teknologi dan penyelesaian cabaran global,” katanya.
Dalam pada itu, penganjuran Funtastic STEM @ Matematik mencerminkan komitmen Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, UPM dalam memperluaskan pemindahan ilmu kepada komuniti sekolah melalui pendekatan inovatif yang selari dengan keperluan pendidikan digital dan Revolusi Industri 4.0.

.jpg)


.jpg)
.jpg)
