Oleh: Noor Eszereen Juferi
ULU TIRAM, 24 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan pertanian negara menerusi kerjasama strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjayakan Program Ekonomi MADANI: Projek Halia Bentong yang dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Kem Ulu Tiram.
Kerjasama itu membuka lembaran baharu dalam penggabungan kepakaran akademia dan institusi pertahanan negara bagi membangunkan sektor agromakanan bernilai tinggi melalui penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi serta pembangunan komuniti.
Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato’ Sri Jailani Johari berkata, kerjasama tersebut membuktikan bagaimana kepakaran universiti dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak langsung kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
“UPM melihat ATM bukan sekadar benteng pertahanan negara malah sebuah institusi yang mempunyai potensi besar untuk diperkasakan melalui pembangunan ekonomi berasaskan ilmu, penyelidikan dan teknologi.
“Melalui kerjasama ini, kepakaran UPM dalam bidang pertanian dan inovasi dapat dimanfaatkan bagi membangunkan projek yang memberi manfaat kepada anggota tentera, veteran ATM serta masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Tambah beliau, Projek Halia Bentong merupakan contoh bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar yang mampu menjana pendapatan, mewujudkan peluang keusahawanan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
“Apabila universiti, kerajaan dan ATM berganding bahu kita bukan sahaja menghasilkan teknologi dan inovasi baharu malah membina komuniti yang lebih berdaya tahan, berpendapatan tinggi dan mampu menyumbang kepada kemakmuran negara. Inilah semangat Malaysia MADANI yang ingin direalisasikan,” katanya.
Dato’ Sri Jailani berkata, UPM amat berbesar hati menjadi rakan strategik kepada ATM dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi komuniti melalui pendekatan berasaskan ilmu, penyelidikan dan inovasi.
“Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan ATM mampu menjadi model kolaborasi nasional yang menghubungkan kekuatan akademia dengan keupayaan institusi pertahanan dalam menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, UPM dan ATM dijangka memperluaskan kolaborasi dalam pelbagai bidang termasuk pertanian pintar, keterjaminan makanan, penyelidikan gunaan, inovasi teknologi, pembangunan modal insan, latihan teknikal serta pemerkasaan ekonomi veteran ATM dan komuniti setempat.
Inisiatif tersebut selaras dengan komitmen UPM untuk terus memperluas pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat serta menyokong agenda pembangunan negara menerusi penyelidikan yang memberi impak kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia MADANI.

.jpg)


.jpg)
.jpg)
