Oleh: Noor Eszereen Juferi

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai Sekretariat Utama University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 memainkan peranan penting dalam memperkukuh laluan hasil penyelidikan universiti daripada peringkat makmal kepada industri, pelaburan dan pasaran.
URIIS 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dengan kerjasama Universiti Awam, menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada lebih 20 universiti awam dan swasta, selain pemain industri, pelabur, agensi kerajaan, penyelidik serta inovator.
Persidangan itu menampilkan lebih 200 teknologi dan hasil penyelidikan yang berpotensi untuk pelaburan, sekali gus menyediakan ruang strategik bagi menghubungkan penyelidikan, industri dan pelaburan dalam usaha menghasilkan impak sebenar kepada ekonomi dan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang hadir merasmikan URIIS 2026 berkata, platform itu perlu menyediakan laluan yang lebih kukuh bagi membawa hasil penyelidikan Malaysia yang berpotensi daripada makmal kepada industri, pelaburan dan pasaran.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama kementerian berkaitan serta universiti, industri dan rakan industri untuk membuat susulan terhadap teknologi paling berpotensi yang diketengahkan menerusi URIIS 2026 bagi menilai potensi pembiayaan, kemajuan pengkomersialan serta faktor yang menghalang perkembangan teknologi berkenaan.
“Kita sudah mempunyai bakat dan idea yang diperlukan dan kini kita perlu membantu yang terbaik daripada kalangan mereka untuk berkembang ke tahap lebih besar,” katanya.
Menerusi penglibatan sebagai Sekretariat Utama, UPM terus memperkukuh peranan universiti dalam membina jambatan antara penyelidikan, industri dan pelaburan dalam memastikan ilmu serta inovasi yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian dan nilai yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Profesor Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin, berkata URIIS 2026 memberi penekanan kepada usaha membawa hasil penyelidikan melangkaui peringkat pembangunan dengan membuka ruang kepada penerimaan teknologi, pengkomersialan, pembiayaan dan pelaburan.
“Ini membolehkan inovasi yang dihasilkan universiti diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak kepada ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berorientasikan tindakan yang diketengahkan menerusi URIIS 2026 turut menyediakan sesi padanan perniagaan, pembentangan penyelesaian atau pitching, klinik pengkomersialan, sesi industri dan pameran inovasi.
“Platform ini mempertemukan penyelidik secara langsung dengan pemain industri dan pelabur bagi membuka ruang kepada kerjasama, pengkomersialan serta potensi pelaburan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu penting dalam merapatkan jurang antara penciptaan ilmu dengan penggunaan sebenar, di samping membantu penyelidik memahami keperluan industri dan pasaran serta membolehkan syarikat dan pelabur mengenal pasti teknologi dan kepakaran universiti yang berpotensi untuk dikembangkan.

“Sebagai sekretariat utama universiti turut menyokong kesinambungan usaha selepas URIIS 2026 melalui mekanisme pemantauan susulan bagi menilai perkembangan setiap padanan yang terhasil, termasuk proses validasi industri, rundingan, projek bersama, pelesenan, pembiayaan, pelaburan dan potensi penerimaan teknologi,” katanya.
Antara bidang strategik yang diketengahkan pada URIIS 2026 ialah semikonduktor, ekonomi digital, teknologi pertanian dan makanan, tenaga mampan, sains hayat, kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju, teknologi halal, pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bandar pintar, biodiversiti, pertahanan serta mobiliti dan aeroangkasa.
Kepelbagaian bidang berkenaan mencerminkan kekuatan kepakaran penyelidikan universiti dalam menyumbang kepada penyelesaian cabaran semasa negara, selain membuka peluang baharu kepada kerjasama industri, pembangunan teknologi dan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.
Dalam pada itu, URIIS 2026 turut menampilkan sesi plenari bertajuk “Charting Malaysia’s Path to 2030: Research, Innovation and Investment for National Development” yang membincangkan hala tuju Malaysia menuju 2030 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negara, pembiayaan penyelidikan dan pembangunan, pelaburan, pengkomersialan inovasi, transformasi digital serta pembangunan ekosistem.

Sesi itu menampilkan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta moderator oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim.



.jpg)
.jpg)

