| Universiti Putra Malaysia

UPMS perkukuh agenda kelestarian melalui Pusat Komuniti SisaSMART@Bintulu

 

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

BINTULU, 18 Jun – Kepakaran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dalam pengurusan sisa lestari dimanfaatkan menerusi pelaksanaan SisaSMART@Bintulu, sebuah pusat komuniti yang menggabungkan pengkomposan sisa makanan, kitar semula dan pendidikan komuniti bagi membudayakan amalan sifar pembaziran.

 

Inisiatif yang dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), UPMS dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu-Tatau itu menjadi platform pemindahan ilmu daripada universiti kepada masyarakat melalui latihan, demonstrasi dan bimbingan teknikal berkaitan pengurusan sisa yang mampan.

 

Di bawah kerjasama tersebut, UPMS bertanggungjawab menyediakan kepakaran teknikal, latihan serta khidmat bimbingan dalam aspek pengkomposan, pengasingan sisa dan amalan kitar semula bagi memastikan pengoperasian pusat dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.

 

Ketua Projek SisaSMART@Bintulu, Dr. Keeren Sundara Rajoo, berkata pusat komuniti itu membuktikan bahawa penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi impak terus kepada masyarakat.

 

“SisaSMART@Bintulu bukan sekadar pusat pengurusan sisa, malah menjadi ruang pembelajaran yang membolehkan komuniti melihat sendiri bagaimana sisa boleh diurus dan dimanfaatkan semula melalui pendekatan yang praktikal. Pendekatan ini diharap dapat membentuk perubahan tingkah laku yang berterusan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

 

Beliau yang juga Pengarah inisiatif Towards Zero Food Waste in Bintulu dan pengasas aplikasi KitarNow berkata, integrasi teknologi digital bersama pendidikan komuniti dapat memperkukuh penglibatan masyarakat dalam usaha mengurangkan sisa dan meningkatkan kadar pemulihan sumber.

 

“Pelaksanaan SisaSMART@Bintulu mencerminkan komitmen UPMS dalam memperkasa komuniti melalui penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu yang menyokong agenda kelestarian serta pembangunan masyarakat,” katanya.

 

 

SisaSMART@Bintulu dibuka kepada orang awam sebagai pusat komuniti untuk menghantar sisa makanan bagi tujuan pengkomposan serta bahan kitar semula, selain berfungsi sebagai tapak demonstrasi dan latihan kepada sekolah, institusi, agensi serta komuniti setempat.

 

Sementara itu, majlis pelancaran pusat berkenaan disempurnakan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, Datu Muhamad Yakup Kari.

 

Turut hadir, Pengerusi Negeri Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak, Dato’ Norhayati Ismail serta wakil daripada pelbagai sekolah, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan industri di Bintulu yang menunjukkan komitmen bersama dalam memperkukuh amalan pengurusan sisa secara lestari.

 

XZKUWAR~