
BINTULU, 14 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi peneraju pembangunan wilayah apabila kampus Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerima lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, hari ini
Lawatan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan UPM sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkasa pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta agenda keterjaminan makanan khususnya di Sabah dan Sarawak.
Dalam lawatan tersebut, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut mengadakan sesi dialog bersama 30 mahasiswa Sabah dan Sarawak di UPMS bagi mendengar pandangan dan aspirasi generasi muda berkaitan pembangunan wilayah, akses pendidikan tinggi dan peluang masa depan di Borneo.
Belia berkata, suara dan pandangan mahasiswa Sabah dan Sarawak amat penting dalam memastikan agenda pembangunan wilayah terus relevan dengan keperluan generasi muda.
“Pendidikan harus menjadi jambatan kepada kemajuan dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat di kedua-dua wilayah ini dan mahasiswa memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam memacu kemajuan negara,” katanya.
Tambah beliau, Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkasakan agar manfaatnya dapat dirasai rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah penting khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan, infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat serta mahasiswa perlu bersedia menjadi peneraju kepada masa depan negara yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib berkata lawatan itu membuktikan kepercayaan kerajaan terhadap kemampuan UPM dalam menyumbang kepakaran akademik dan penyelidikan bagi pembangunan Sabah dan Sarawak.
“Sebagai universiti berteraskan pertanian dan pembangunan lestari UPM sentiasa komited memperluas impak pendidikan, penyelidikan dan inovasi kepada masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak.
“UPM menerusi UPMS terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan, pembangunan komuniti dan pemindahan ilmu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, berkata UPMS akan terus memperkukuh peranannya sebagai hab pendidikan dan pembangunan komuniti di Borneo selaras dengan aspirasi UPM untuk menjadi universiti bereputasi antarabangsa yang memberi impak kepada masyarakat.

“Lawatan kerja tersebut memperlihatkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan kerajaan demi memacu pembangunan mampan Sabah dan Sarawak melalui pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Selain itu, dalam sesi bersama Ahli Pengurusan UPMS, satu pembentangan khas mengenai projek Inisiatif AgriHub@Sepanggar telah disampaikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMS, Dr. Shairil Izwan Taasim.

Inisiatif berasaskan urban farming itu dilihat berpotensi membantu komuniti bandar meningkatkan kemahiran pertanian, mengurangkan kos sara hidup melalui penghasilan makanan sendiri serta memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keterjaminan makanan dan daya tahan komuniti.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Menteri, Ahmad Nazib Johari ini serta Ahli Pengurusan UPMS.



.jpg)


