| Universiti Putra Malaysia

Bulan Sinergi PUTRA 2026 satukan warga UPM, perkukuh transformasi strategik universiti

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 30 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menutup tirai Bulan Sinergi PUTRA 2026 dengan kejayaan menganjurkan 109 program dan aktiviti berimpak tinggi sepanjang Jun, menyatukan seluruh warga universiti dalam memperkukuh budaya kolaborasi.

Program yang melibatkan fakulti, institut, pusat tanggungjawab (PTJ), pelajar dan komuniti itu menjadi platform menyeluruh bagi menyelaraskan hala tuju universiti, mengukuhkan sinergi rentas disiplin serta memperkasakan pelaksanaan agenda strategik UPM.

 

Penganjuran Bulan Sinergi PUTRA 2026 mencerminkan komitmen UPM dalam membudayakan tadbir urus yang inklusif, memperkukuh kolaborasi rentas disiplin serta memastikan setiap inisiatif strategik diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak kepada universiti, masyarakat dan negara.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata Bulan Sinergi PUTRA bukan sekadar penganjuran program sepanjang sebulan, sebaliknya menjadi pemangkin perubahan budaya kerja dan transformasi institusi.

 

“Bulan Sinergi PUTRA memberi peluang kepada seluruh warga UPM untuk memahami aspirasi universiti, berkongsi idea, membina jaringan kerjasama dan menggerakkan tindakan yang benar-benar memberi impak kepada masyarakat. Apa yang dibina sepanjang bulan ini perlu diterjemahkan dalam gerak kerja harian setiap PTJ,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bulan Sinergi PUTRA 2026 di UPM.

 

Tambah beliau, kejayaan menganjurkan lebih 100 program dalam tempoh sebulan membuktikan komitmen seluruh warga universiti untuk bergerak sebagai satu pasukan dalam merealisasikan agenda transformasi UPM.

 

“Transformasi institusi tidak boleh digerakkan secara bersendirian serta memerlukan penglibatan menyeluruh warga universiti supaya setiap inisiatif yang dirancang dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada universiti, negara dan masyarakat,” katanya.

 

Selain itu, Bulan Sinergi PUTRA merupakan kesinambungan kepada Makmal Petunjuk Prestasi (KPI) dan Program Sinergi PUTRA yang dilaksanakan pada April lalu.

 

Pelbagai program berimpak turut dilaksanakan termasuk Kolokium Sinergi PUTRA, program komuniti PUTRASihat, inisiatif penanaman pokok, pengoptimuman sumber universiti, forum kepimpinan, wacana ilmu, program kesejahteraan warga dan aktiviti kesukarelawanan yang menyokong pembangunan mampan universiti.

 

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, berkata Bulan Sinergi PUTRA berjaya meningkatkan kefahaman warga universiti terhadap hala tuju strategik UPM di samping mengukuhkan semangat kebersamaan.

 

“Program ini sangat baik kerana membantu seluruh warga memahami fokus utama UPM. Pada masa yang sama   memperkukuhkan hubungan dan semangat kerjasama antara pensyarah, staf serta pelajar dalam memastikan aspirasi yang digariskan oleh Naib Canselor dan pengurusan universiti dapat dicapai bersama,” katanya.

 

Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Wan Zaharuddin Wan Abdullah @ Wan Abd. Rahman, berkata Bulan Sinergi PUTRA membuka ruang kepada warga universiti untuk memahami bahawa setiap PTJ memainkan peranan saling melengkapi dalam mencapai matlamat bersama.

 

“Melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, kita dapat melihat bagaimana kerjasama rentas PTJ dapat diperkukuh dan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih bersepadu demi kecemerlangan universiti,” katanya.

 

Pembantu Tadbir, Pejabat Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Antarabangsa), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM, Zarina Ismail, berkata program itu turut memberi nilai tambah kepada kumpulan pelaksana.

 

“Sebagai staf sokongan saya melihat Bulan Sinergi PUTRA memberi peluang kepada kami untuk memahami dengan lebih jelas hala tuju universiti serta bagaimana peranan setiap warga, tanpa mengira jawatan, menyumbang kepada kejayaan UPM,” katanya.

XZJQOAo~