| Universiti Putra Malaysia

Percaya setiap cabaran ada hikmah bawa Chua Hui Qi raih Biasiswa YDPA

 

Oleh: Aimi Mohamad Farid

 

SERDANG, 30 Jun - Berpegang kepada prinsip bahawa setiap perjalanan hidup mempunyai hikmah tersendiri menjadi kekuatan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026, antara biasiswa paling berprestij di negara ini.

 

 

Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Matematik dan Statistik, Chua Hui Qi, berkata beliau tidak menyangka terpilih menerima biasiswa berkenaan dan menganggap pengiktirafan itu sebagai satu amanah untuk terus memberikan yang terbaik dalam pengajian serta menyumbang kepada negara melalui bidang yang diceburi.

 

 

“Sejujurnya, saya rasa tidak percaya apabila menerima berita tersebut. Pada masa yang sama, saya amat gembira dan terharu kerana berjaya menjadi salah seorang penerima BYDPA yang sememangnya merupakan biasiswa paling berprestij di Malaysia.

 

 

“Saya melihat biasiswa ini sebagai satu amanah, dorongan dan sumber motivasi untuk saya terus berusaha, menyelesaikan pengajian dengan cemerlang, dan menyumbang kembali kepada negara melalui bidang yang saya ceburi,” katanya.

 

 

Beliau berkata penerimaan biasiswa itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga kerana bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah menjadi pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian akademiknya selama ini.

 

 

Beliau yang merupakan individu pertama dalam keluarganya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berkata, cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah meneroka dunia akademik tanpa rujukan atau pengalaman daripada ahli keluarga terdekat.

 

 

“Apabila saya melanjutkan pengajian ke universiti, saya perlu meneroka banyak perkara sendiri kerana tiada rujukan yang boleh membimbing saya ketika itu,” katanya.

 

 

Namun begitu, beliau bersyukur kerana sentiasa mendapat bimbingan daripada pensyarah dan rakan-rakan yang banyak berkongsi pengalaman serta membantunya memahami pelbagai peluang dalam bidang akademik.

 

 

Beliau berkata keluarga, penyelia dan rakan-rakan menjadi sumber inspirasi serta dorongan sepanjang menempuh perjalanan sebagai pelajar.

 

 

“Keluarga sentiasa menjadi sumber kekuatan saya, manakala penyelia dan rakan-rakan banyak membimbing serta memberi sokongan sepanjang perjalanan akademik saya,” katanya.

 

 

Menyentuh prinsip hidup yang menjadi pegangan, beliau berkata ungkapan “Everything happens for a reason” sentiasa menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

 

 

“Setiap peluang, cabaran dan kegagalan mempunyai hikmah yang tersendiri. Saya percaya semua pengalaman itu membentuk diri saya menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

 

 

Beliau berharap dapat menjadi pensyarah dalam bidang statistik pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang mahir dalam analitik data, di samping menjalinkan kerjasama dengan industri dan agensi penyelidikan untuk menghasilkan kajian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

 

 

Beliau juga menitipkan nasihat kepada mahasiswa supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan atau penolakan, khususnya dalam permohonan biasiswa.

 

 

“Jangan takut menghadapi kegagalan atau penolakan. Teruskan mencuba kerana setiap permohonan memberi pengalaman dan peluang untuk kita belajar serta memperbaiki diri,” katanya.

XZJYJAj~