| Universiti Putra Malaysia

UPM Himpun Kepakaran Global Pacu Inovasi Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

 

MELAKA, 8 September - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pertanian menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar dan pemain industri dari pelbagai negara bagi meneroka penyelesaian berasaskan sains dan teknologi dalam memperkukuh daya tahan sektor pertanian serta keterjaminan makanan.

 

Usaha tersebut direalisasikan menerusi penganjuran 10th International Agriculture Congress (IAC10) dan 25th Asian Association of Agricultural Colleges and Universities Biennial Conference (AAACU25) yang berlangsung dari 8 hingga 10 September 2026 di Courtyard by Marriott Melaka.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah FASc, berkata penggunaan teknologi dalam sektor pertanian perlu mengambil kira keperluan serta keadaan setempat bagi memastikan penyelesaian yang dibangunkan benar-benar dapat menangani masalah yang dihadapi.

 

 

“Teknologi perlu diadaptasi melalui penyelidikan dan usaha kita bagi memastikan ia sesuai dengan keperluan dan keadaan kita,” katanya.

 

Tambah beliau, perbezaan dari segi ekosistem, iklim, tanah, infrastruktur dan dasar antara sesebuah negara menyebabkan teknologi yang berjaya digunakan di satu tempat tidak semestinya sesuai untuk diterapkan secara terus di negara lain.

 

“Jadi, kita perlu memastikan teknologi tersebut dapat disediakan dan dilaksanakan untuk membantu pertanian menjadi lebih bersedia serta menyelesaikan masalah keterjaminan makanan,” katanya.

 

Beliau berkata, penganjuran IAC10 dan AAACU25 turut menandakan pencapaian penting apabila kedua-dua persidangan masing-masing mencapai edisi ke-10 dan ke-25, selain membuka ruang kepada penglibatan Food and Agriculture Organization (FAO) sebagai rakan strategik dalam inisiatif ASEAN University Network-Agriculture and Food Security (AUN-AFS).

 

Menurut beliau, persidangan berkenaan perlu bergerak melangkaui perkongsian hasil penyelidikan dengan memberi tumpuan kepada usaha menghasilkan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan dan pembuat dasar.

 

“Kita bukan sahaja berkongsi penyelidikan, tetapi berusaha untuk memulakan penyelidikan yang dapat menarik perhatian kerajaan dan pembuat dasar supaya secara kolektif kita dapat memberikan impak,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi IAC10 dan AAACU25, Prof. Gs. Dr. Siva K. Balasundram, berkata sektor pertanian kini berdepan keperluan untuk menghasilkan lebih banyak makanan menggunakan sumber yang semakin terhad, selain menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan perubahan sistem makanan.

 

Beliau berkata perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, pertanian tepat, automasi dan teknologi digital menawarkan peluang besar untuk meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya tahan sektor pertanian.

 

“Teknologi bukanlah destinasi. Manusia adalah keutamaan. Sensor penting apabila ia membantu petani membuat keputusan yang lebih baik, manakala kecerdasan buatan penting apabila ia membantu menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.

 

Tambah beliau, inovasi yang dihasilkan perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada petani, selain menjadikan persidangan tersebut sebagai ruang untuk membina jaringan dan kerjasama baharu antara penyelidik, pembuat dasar, industri serta saintis muda.

 

“Pada akhirnya, inovasi penting apabila ia sampai kepada petani,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pertanian UPM merangkap Presiden AAACU, Prof. Dr. Loh Teck Chwen, berkata cabaran sektor pertanian yang semakin kompleks memerlukan pendekatan holistik serta kerjasama yang melangkaui sempadan negara dan disiplin ilmu.

 

Beliau berkata teknologi seperti AI, robotik, pertanian tepat, teknologi genetik, nanoteknologi dan pertanian digital berpotensi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan pertanian serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

 

“Namun, teknologi sendiri bukanlah penyelesaian. Nilai sebenar bergantung kepada sejauh mana pengetahuan sains, keadaan tempatan dan keperluan manusia dapat disepadukan,” katanya.

 

Tambah beliau, IAC10 dan AAACU25 turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan pertanian di Asia melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dalam membangunkan inovasi pertanian serta keterjaminan makanan.



Persidangan tiga hari itu turut menampilkan pembentangan saintifik, forum pakar, sesi perbincangan dan jaringan profesional yang merangkumi empat kluster utama iaitu Sains Asas, Teknologi Termaju, Pemanfaatan Makanan dan Pengurangan Sisa serta Daya Tahan Sistem dan Keselamatan Global.

XZKQDA~