Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 2 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pemindahan ilmu dengan membawa kepakaran nanosains dan nanoteknologi ke sekolah menerusi Program NanoDidik @Perak 2026, yang memberi pendedahan kepada kira-kira 150 pelajar Tingkatan Empat dan guru Kimia dari seluruh negeri Perak mengenai aplikasi sains termaju dalam kehidupan dan industri, baru-baru ini.
Program anjuran Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), UPM itu merupakan siri jelajah rasmi kedua selepas kejayaan penganjuran di Negeri Sembilan pada tahun lalu. Sebelum ini, inisiatif tersebut telah dilaksanakan di UPM melibatkan komuniti sekolah di daerah Hulu Langat dan Petaling, Selangor.
Penganjuran yang memasuki tahun keempat itu mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperluas akses kepada pendidikan STEM berkualiti dengan menterjemahkan hasil penyelidikan universiti kepada pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan komuniti sekolah.
Pengarah ION2, Prof. Ir. Ts. Dr. Suhaidi Shafie berkata, penaganjuran NanoDidik adalah selari dengan aspirasi UPM untuk melahirkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara melalui inovasi serta penyelidikan.
“ION2 akan terus memperluaskan pelaksanaan NanoDidik ke lebih banyak negeri sebagai usaha memperkukuh literasi STEM dalam kalangan pelajar sekolah serta menyokong agenda pembangunan bakat sains dan teknologi negara,” katanya.
Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Jaafar Abdullah, berkata program itu merupakan platform penting UPM untuk memperluaskan pemindahan ilmu kepada masyarakat serta menyemai minat generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi berimpak tinggi.
“Pendedahan awal dengan komuniti kepada bidang nanoteknologi mampu melahirkan generasi yang celik sains, kreatif dan bersedia membangunkan penyelesaian teknologi bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, pelaksanaan program di Sekolah Menengah Sains Tapah (SESTA) turut mendapat sokongan strategik Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam melahirkan generasi celik sains dan teknologi.
Guru Kimia SESTA, Puteri Nazatulsima Megat Zulkifle, berkata program Nano Didik banyak membantu beliau dalam mengukuhkan kefahaman terhadap kandungan mata pelajaran Kimia selain memperkenalkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih berkesan.
“Saya mendapati program ini memperkenalkan pelbagai teknologi nano terkini yang diterajui oleh penyelidik tempatan serta menambah pengetahuan saya untuk menerangkan contoh aplikasi teknologi nano yang terkini kepada pelajar,” katanya.



.jpg)


