| Universiti Putra Malaysia

UPM Perkukuh Ekosistem Halal Global Menerusi GHaS 2026

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
Foto oleh: Azreen Awang

 

 

MITEC, 24 Sept- Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) memperkukuh peranannya dalam pembangunan ekosistem halal global menerusi penglibatan sebagai penganjur bersama Global Halal Summit (GHaS) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

 

GHaS 2026 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dalam ucapannya menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem halal secara menyeluruh, dengan pensijilan halal dilihat sebagai permulaan kepada perjalanan sesebuah perniagaan, bukan sebagai titik akhir.

 

 

Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Prof. Dr. Awis Qurni Sazili berkata, tahun ini merupakan tahun kedua UPM dan IPPH terlibat secara langsung sebagai penganjur bersama GHaS, selepas terlibat menerusi penganjuran MIHREC 2025 pada tahun lalu.

 

“Penglibatan IPPH dalam GHaS bukan sekadar menganjurkan program, sebaliknya menjadi platform untuk kami mengetengahkan kepentingan penyelidikan, pendidikan dan latihan sebagai asas kepada pembangunan industri halal global,” katanya.

 

 

Menerusi GHaS 2026, kepakaran akademik dan penyelidikan UPM dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa, selain membuka ruang pertemuan antara penyelidik, institusi dan pemain industri bagi memperkukuh ekosistem halal berasaskan ilmu dan inovasi.

 

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia, Dato’ Sri Jailani Johari, Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zamberi Sekawi serta Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zahid.

XZKQHAq~