| Universiti Putra Malaysia

UPM Perkukuh Jaringan Penyelidikan Strategik Bersama University Of Oxford

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

 

SERDANG, 14 Sept- Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa menerusi sesi libat urus strategik bersama University of Oxford bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang kejuruteraan termaju, keterjaminan makanan dan kelestarian alam sekitar.

 

Delegasi UPM diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib, bersama Pengarah Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA), Prof. Dr. Alyani Ismail dan Timbalan Pengarah (Pengurusan), i-PUTRA, Puan Shahriah Membar.

 

Kunjungan dimulakan di Oxford Thermofluids Institute menerusi pertemuan bersama Pengarah, Prof. Peter Ireland, serta Prof. Clive Siviour dan Martin Edmunds. Sesi tersebut memberi tumpuan kepada penerokaan bidang penyelidikan yang berpotensi dibangunkan bersama berdasarkan kepakaran UPM dan institut berkenaan.

 

Dalam sesi berkenaan, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim turut membentangkan kekuatan akademik dan penyelidikan UPM, diikuti tinjauan kemudahan penyelidikan bagi mengenal pasti kepakaran serta keupayaan yang berpotensi menyokong kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.

 

Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim berkata, sesi libat urus tersebut signifikan dalam mempersembahkan keupayaan dan kekuatan akademik UPM di persada antarabangsa, di samping membuka ruang pertukaran kepakaran dengan institusi penyelidikan terkemuka dunia.

 

“Pertemuan ini dijangka menghasilkan penyelidikan bersama dan pertukaran kepakaran dalam bidang kejuruteraan termaju menerusi Oxford Thermofluids Institute, serta memangkinkan pendekatan multidisiplin bagi menangani cabaran keterjaminan makanan, kelestarian alam sekitar dan kelestarian industri minyak sawit di Oxford Martin School,” katanya.

 

 

Sementara itu, delegasi UPM meneruskan sesi libat urus di Oxford Martin School bersama Pengarahnya, Prof. Charles Godfray, dengan perbincangan memberi tumpuan kepada keterjaminan makanan dan pendekatan penyelidikan multidisiplin dalam menangani cabaran kelestarian.

 

Dalam sesi tersebut, Frances Manning turut membentangkan penyelidikan menerusi Oxford-Malaysian Sustainable Palm Oil INSPIRE Lab yang meliputi kelestarian industri minyak sawit, alam sekitar dan keterjaminan makanan. 

 

Prof. Dr. Alyani Ismail turut berkata, i-PUTRA berperanan menyelaraskan hala tuju penglibatan antarabangsa serta menguruskan tindakan susulan antara penyelidik kedua-dua universiti bagi memastikan bidang kepakaran yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada projek penyelidikan dan perkongsian kepakaran yang lebih berstruktur.

 

“Jaringan strategik ini membolehkan warga akademik UPM meneliti kemudahan serta keupayaan penyelidikan, memanfaatkan kepakaran komplementari dalam isu global seperti keterjaminan makanan dan kelestarian, sekali gus memperluas jangkauan kolaborasi penyelidik UPM di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Lawatan ini mencerminkan komitmen UPM memperluas jaringan penyelidikan global dan memperkukuh kolaborasi strategik, selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UPM 2026–2030.

XZKPEAS~