| Universiti Putra Malaysia

4,824 pelajar baharu UPM mulakan langkah pertama kenali kampus

 

SERDANG, 1 Okt – Seramai 4,824 pelajar baharu program Bacelor Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2026/2027 menyertai Program PutraSihat 10,000 Langkah Siri 3/2026, sekali gus memulakan pengalaman kehidupan kampus dengan mengenali persekitaran universiti menerusi aktiviti berjalan kaki.

 

Program anjuran Akademi Sukan UPM melalui Seksyen Pembudayaan Sukan itu bukan sahaja menggalakkan amalan hidup aktif dalam kalangan warga universiti, malah memberi peluang kepada pelajar baharu mengenali persekitaran kampus, membina kebersamaan dan menyemai Jiwa Putra sebagai warga UPM.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zamberi Sekawi, berkata program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara staf pelaksana, pegawai bukan akademik dan pegawai akademik bersama pengurusan universiti.

 

“Program PutraSihat 10,000 Langkah Siri 3/2026 menyasarkan 4,500 peserta, khususnya pelajar baharu, selain menggalakkan budaya kecergasan dan menjadikan aktiviti berjalan kaki sebagai sebahagian daripada rutin harian komuniti UPM,” katanya.

 

Menurut beliau, penglibatan warga universiti dalam aktiviti sedemikian turut dapat mewujudkan suasana kampus yang lebih aktif, sihat, harmoni dan produktif, selaras dengan usaha membentuk pengalaman mahasiswa yang menyeluruh.

 

Bagi pelajar Bacelor Sains Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM, Bavithiran Muthukumaran, aktiviti berkenaan membolehkannya mengenali persekitaran UPM dengan lebih dekat.

 

 

“Melalui aktiviti berjalan kaki ini, saya dapat melihat persekitaran UPM dan mengetahui lebih banyak tempat yang ada melalui jalan kaki ini,” katanya.

 

Sementara itu, pelajar Bacelor Biologi Sel dan Molekul, Lydia Natalinda Ideris, berkata aktiviti berkenaan turut membantunya mengenali laluan dan lokasi menarik dalam kampus.

 

“UPM ini sangat luas dan banyak jalan pintas. Bukan itu sahaja, saya dapat lihat sendiri lokasi-lokasi yang menarik terdapat di UPM,” katanya.

 

Bagi pelajar baharu, pengalaman meneroka kampus melalui aktiviti berjalan kaki itu bukan sekadar memberi pendedahan terhadap kepentingan kecergasan, malah menjadi sebahagian daripada langkah awal untuk mengenali persekitaran UPM, membina hubungan sesama warga universiti dan menghayati semangat Jiwa Putra.

 

Program bertemakan “Langkah Kecil, Perubahan Besar” itu bermula di Padang Kawad UPM sebelum peserta meneruskan aktiviti Briskwalk sekitar kampus dan berakhir di Dewan Besar UPM.

XZKQCAr~