| Universiti Putra Malaysia

600 Pelajar Baharu ASPutra UPM Lafaz Ikrar

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

Serdang, 29 Jun – Seramai 600 pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) bagi sesi akademik 2026/2027 melafazkan Ikrar Pelajar Baharu pada Majlis Pelajar Baharu Bersama Pengurusan Universiti, baru-baru ini.

 

 

Majlis yang menghimpunkan pelajar baharu bersama barisan pengurusan tertinggi universiti itu bertujuan memperkenalkan pelajar kepada kepimpinan universiti serta menyemai semangat kebersamaan dan rasa bangga sebagai warga Universiti Putra Malaysia.

 

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, dalam ucapannya berharap pelajar baharu dapat memanfaatkan peluang sepanjang mengikuti Program Asasi Sains Pertanian untuk menimba ilmu, membina keyakinan diri serta menghayati nilai-nilai yang diterapkan di universiti.

 

 

"UPM sentiasa komited memperkasa bidang pertanian melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi bagi menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara," katanya.

 

 

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya menghayati moto Berilmu Berbakti serta membentuk jati diri Jiwa Putra sebagai panduan sepanjang bergelar warga UPM.

 

 

Sementara itu, Pengarah ASPutra, Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah berkata pelajar baharu yang dikenali dengan gelaran mesra ASPer22 perlu menjadikan program asasi sebagai landasan kukuh sebelum melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.

 

 

Beliau berkata pelajar tidak perlu terlalu bimbang untuk menjadi yang terbaik berbanding orang lain, sebaliknya sentiasa berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri serta menjaga adab dalam komunikasi dan pergaulan sesama warga universiti.

 

 

"Harapan saya agar pelajar sentiasa menjaga tutur kata dan tingkah laku, kerana setiap langkah yang diambil membawa nama institusi, sama ada di dalam kampus mahupun di dunia maya", katanya.

XZHSFAP~