
Oleh: Husnina Zahra Hadri
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
SERDANG, 14 Julai – Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM), melaksanakan Program Zero Hunger ‘Free Meals Breakfast Dulu Before Exam’ bagi membantu mahasiswa menghadapi musim peperiksaan dengan lebih selesa menerusi penyediaan sarapan dan makan tengah hari secara percuma.
Program tersebut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib yang menyempurnakan agihan sarapan kepada mahasiswa di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).
Pengarah WAZAN UPM, Haris Dahlan berkata program itu dilaksanakan bagi memastikan mahasiswa tidak menduduki peperiksaan dengan perut kosong, sekali gus membantu mereka memberi tumpuan sepenuhnya ketika menjawab soalan.

“Melalui program Zero Hunger ini, kami mahu memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada makanan sebelum memasuki dewan peperiksaan.
“Selain menyediakan sarapan kepada mahasiswa, WAZAN turut mengagihkan makan tengah hari sebaik sahaja mereka selesai menduduki peperiksaan sebagai usaha memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata program itu mendapat sokongan daripada Tabung Haji (TH) yang menyalurkan sumbangan sekitar RM70,400 bagi membiayai penyediaan makanan kepada kira-kira 3,000 mahasiswa sepanjang pelaksanaan program tersebut.

Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Bioteknologi Dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Nur Sarah Izzati Mohamad Shahrel berkata program ini membantu mengurangkan beban perbelanjaan mahasiswa, khususnya pada penghujung semester.
“Program ini sangat membantu pelajar kerana kami tidak perlu memikirkan soal makanan sebelum menduduki peperiksaan, terutama bagi peperiksaan yang bermula awal pagi.
“Pada masa sama, kami dapat mengurangkan perbelanjaan makanan harian, terutama pada penghujung semester di mana ramai pelajar perlu berjimat cermat,” katanya.
Seorang lagi pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar Dengan Kepujian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Muhammad Nurilman Kumar Muhammad Firdaus Kumar berkata program tersebut mencerminkan keprihatinan universiti terhadap kebajikan mahasiswa.

“Sarapan yang disediakan membolehkan kami memasuki dewan peperiksaan dengan lebih bersedia dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika menjawab soalan tanpa perlu memikirkan soal makanan,” katanya.
Program ini merupakan inisiatif WAZAN UPM dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa sepanjang musim peperiksaan, selaras dengan usaha universiti memastikan keperluan asas pelajar terus diberi perhatian.

.jpg)
.jpeg)

.jpg)

