Oleh: Husnina Zahra Hadri
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

SERDANG, 12 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) mempergiat usaha memperluas penyampaian ilmu kepada masyarakat menerusi penganjuran Bengkel Keterampilan di Media: On Air: The Media-Ready Academic – Communicating on TV, Radio & Podcasts yang berlangsung di Thinker Space 2.0, Fakulti Kejuruteraan, UPM.
Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, ahli akademik perlu lebih yakin dan bersedia tampil berkongsi kepakaran kepada masyarakat walaupun berdepan cabaran landskap media yang semakin pantas dan terbuka pada era digital masa kini.
Menurut beliau, masih terdapat dalam kalangan ahli akademik yang berasa bimbang untuk berinteraksi dengan media kerana khuatir terhadap kritikan atau risiko salah tafsir terhadap pandangan yang disampaikan.

“Namun, jika kita mahu hasil penyelidikan dan kepakaran universiti benar-benar memberi impak kepada masyarakat, kita perlu bersedia melangkaui sempadan akademik dan mendekati khalayak dengan pendekatan komunikasi yang lebih berkesan.
“Universiti hari ini bukan sahaja berperanan menghasilkan ilmu, tetapi turut bertanggungjawab memastikan ilmu dan kepakaran tersebut diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keterlibatan ahli akademik di platform media mampu membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu semasa selain menyokong peranan universiti dalam mempengaruhi perubahan dasar, tingkah laku dan keutamaan masyarakat melalui penyampaian maklumat yang berasaskan fakta dan kepakaran.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed berkata, penguasaan kemahiran komunikasi media kini menjadi antara kompetensi penting bagi memastikan hasil penyelidikan dan kepakaran universiti dapat disampaikan dengan lebih jelas, relevan dan mudah difahami oleh masyarakat.

“Dalam era komunikasi digital yang bergerak pantas, ahli akademik bukan sahaja perlu menguasai bidang kepakaran masing-masing, malah perlu mampu menyampaikan pandangan secara tepat, berimpak dan mesra khalayak merentasi pelbagai platform media,” katanya.
Program anjuran PSPK itu disertai seramai 30 pegawai akademik serta profesional UPM dan dikendalikan oleh Penyampai Berita RTM, Dr. Mohanaapriya Sina Raja yang berkongsi teknik pengendalian temu bual, penyampaian mesej utama, pengurusan soalan sukar serta penampilan profesional ketika bersiaran di televisyen, radio dan podcast.

Penganjuran bengkel ini turut menjadi sebahagian daripada pengisian Bulan Sinergi Putra yang memberi penekanan kepada budaya perkongsian ilmu, kolaborasi serta usaha memperluas keterlihatan kepakaran universiti agar lebih dekat dan memberi nilai kepada masyarakat.

.jpeg)

.jpg)


