
Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 26 Ogos – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib, memperkukuh kepimpinan dan keterlihatan global UPM dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa menerusi penglibatan sebagai peneraju utama South East Asia Workshop on Aerospace Engineering (SAWAE) 2026 di National Cheng Kung University (NCKU), Tainan, Taiwan, baru-baru ini.
Penganjuran SAWAE 2026 turut menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan South East Asia Network on Aerospace Engineering (SANAE), sekali gus memperlihatkan kesinambungan kepimpinan UPM dalam memperkasa jaringan akademik dan penyelidikan aeroangkasa di rantau Asia Tenggara.

Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim yang dilantik sebagai Presiden SANAE sejak 2024 menerajui penganjuran SAWAE pada tahun ini dan menyampaikan Welcome Remarks pada hari pertama persidangan, yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pakar dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa dari pelbagai institusi.
Pengiktirafan terhadap kepakaran beliau dalam bidang aeroangkasa turut terserlah apabila beliau dijemput sebagai penyampai ucaptama untuk menyampaikan Plenary Talk IV bertajuk “From Concept to Sky: Advancing Hydrogen Fuel Systems for Future Aircraft” pada hari kedua persidangan.
Pembentangan tersebut mengetengahkan perkembangan teknologi sistem bahan api hidrogen sebagai antara pendekatan penting dalam meneroka masa depan penerbangan yang lebih mampan, selari dengan keperluan industri aeroangkasa global terhadap teknologi rendah karbon.
Selain itu, beliau turut diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Sesi (Session Chair) bagi sesi teknikal “Sustainable Aviation Fuels, Thermal Systems and Energy Devices II” bersama Prof. C.-H. Cheng dari NCKU, yang membincangkan perkembangan penyelidikan berkaitan bahan api penerbangan lestari, sistem terma dan peranti tenaga.
Peranan aktif UPM dalam SAWAE 2026 turut membuka ruang untuk memperluas jaringan strategik dengan NCKU, menerusi lawatan rasmi Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim ke universiti berkenaan bersempena penganjuran persidangan tersebut.

Dalam lawatan itu, beliau turut memperkenalkan kepakaran, kekuatan akademik dan bidang strategik UPM kepada pihak NCKU sebagai usaha meneroka peluang kerjasama yang lebih luas. NCKU menyambut baik inisiatif tersebut dan menyatakan minat untuk meneroka kerjasama bukan sahaja dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, malah merentasi pelbagai bidang akademik dan penyelidikan di peringkat universiti.
Sementara itu, keterlibatan tersebut mencerminkan peranan UPM bukan sekadar sebagai institusi yang aktif dalam jaringan akademik antarabangsa, malah sebagai peneraju yang menyumbang kepada pembentukan ekosistem kerjasama dan perkongsian kepakaran aeroangkasa di peringkat serantau dan global.
Usaha ini selari dengan Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pengukuhan keterlihatan global, peningkatan penglibatan antarabangsa, penyelarasan keutamaan institusi serta pemacuan kecemerlangan global UPM secara mampan.



.jpg)


