| Universiti Putra Malaysia

CFF 2026 perkukuh persediaan mahasiswa hadapi cabaran dunia pekerjaan

Oleh: Husnina Zahra Hadri
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 

 

SERDANG, 21 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) mengetengahkan pelbagai pengisian interaktif berkaitan kerjaya, kepimpinan dan keusahawanan menerusi penganjuran UPM Career & Futurepreneur Festival 2026 (CFF 2026), baru-baru ini.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, berkata universiti hari ini perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mampu menjadi pencipta pekerjaan dan pemimpin masa hadapan.

 

“Dunia pekerjaan kini sedang berubah dengan pantas. Revolusi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi serta ekonomi gig telah mengubah landskap pekerjaan global.

 

“Graduan masa kini perlu memiliki kombinasi ilmu akademik, kemahiran insaniah, keupayaan digital, pemikiran kritikal serta daya keusahawanan yang tinggi,” katanya.

 

 

Tambah beliau, pencapaian terkini Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2025 UPM menunjukkan peningkatan ketara dalam aspek kualiti pekerjaan graduan, termasuk graduan bekerja dalam bidang pengajian, tenaga mahir serta pencapaian gaji premium.

 

“Fokus utama universiti hari ini bukan semata-mata untuk meningkatkan angka pekerjaan, tetapi memastikan graduan memperoleh pekerjaan berkualiti, berpendapatan baik, setara kelayakan dan relevan dengan keperluan industri masa hadapan,” katanya.

 

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), UPM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, berkata penganjuran CFF 2026 merupakan antara usaha berterusan universiti dalam memperkukuh jaringan strategik antara mahasiswa dan industri.

 

“CFF 2026 bukan sekadar festival kerjaya, tetapi platform pembangunan ekosistem bakat mahasiswa secara holistik.

 

“Melalui kerjasama erat bersama industri, mahasiswa dapat memahami kehendak sebenar pasaran kerja, membina keyakinan diri serta meneroka potensi sebagai usahawan masa hadapan,” katanya.

 

Pengarah CFF 2026, Muhammad Nik Baihaqi Taiki berkata, program itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada mahasiswa merasai sendiri pengalaman berinteraksi dengan pihak industri serta meneroka potensi diri di luar bilik kuliah.

 

“Mahasiswa hari ini perlu berani mencuba, membina jaringan dan menguasai kemahiran masa hadapan. Melalui CFF 2026, kami mahu mahasiswa melihat kerjaya dan keusahawanan sebagai ruang untuk mencipta impak, bukan sekadar mencari pekerjaan,” katanya.

 

 

Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), UPM, Siti Sufi Sofia Noriman, berkata program berkenaan memberinya pendedahan awal mengenai persediaan memasuki alam pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan oleh industri.

 

“Saya dapat memahami kepentingan kemahiran komunikasi, pengurusan masa dan keyakinan diri sebelum memasuki alam pekerjaan. Sebagai pelajar tahun pertama, pendedahan seperti ini sangat penting kerana saya masih kurang mengetahui tentang dunia pekerjaan sebenar,” katanya.

 

Dalam pada itu, sepanjang dua hari festival berlangsung, pelbagai pengisian diadakan termasuk pameran kerjaya, forum industri, pembangunan resume berasaskan kecerdasan buatan (AI), keusahawanan pelajar, pertandingan e-sukan, sesi kepimpinan belia dan pelbagai program pembangunan profesional bersama industri.

XZFVXAh~