| Universiti Putra Malaysia

Imbas, Daftar, Masuk UPM Lancar Pendaftaran Pelajar Baharu AsPutra

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

SERDANG, 25 JUN- Sesi pendaftaran pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian (ASPer), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Sesi Akademik 2026/2027 berlangsung dengan pelbagai reaksi dan emosi pelajar serta ahli keluarga pada hari pertama pendaftaran, hari ini.

 

Seramai 287 pelajar baharu telah mendaftar pada hari pertama di Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) bagi memulakan pengajian di Program Asasi Sains Pertanian sebagai persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

 

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib berkata, pelaksanaan sistem pendaftaran secara dalam talian dan penggunaan kod QR telah mempercepatkan urusan daftar masuk pelajar sekali gus mengurangkan kesesakan yang sering berlaku sebelum ini.

 

 

"Melalui konsep pandu lalu yang diperkenalkan, pelajar hanya perlu mengimbas kod QR sebelum terus ke bilik masing-masing tanpa perlu beratur kerana nombor bilik dan waktu pendaftaran telah dimaklumkan lebih awal," katanya.

 

 

Beliau berkata, penambahbaikan tersebut bukan sahaja melancarkan proses pendaftaran malah memberi pengalaman yang lebih selesa kepada pelajar dan ibu bapa.

 

 

Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPutra), Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, berkata proses pendaftaran hari pertama berjalan lancar hasil kerjasama pengurusan Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), fasilitator serta semua petugas yang terlibat.

 

 

"Saya mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu dan berharap mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang pembelajaran yang disediakan di UPM," katanya.

 

 

Dalam pada itu, Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), Prof. Madya Dr. Daljit Singh A/L Karam Singh berharap pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus dengan mengamalkan sikap saling menghormati serta menerima kepelbagaian budaya.

 

 

"Sekiranya pelajar ada masalah berkaitan kolej, kewangan atau kesihatan, pelajar boleh merujuk kepada pihak kolej. Kami sentiasa membantu," katanya.

 

Proses pendaftaran pelajar baharu ASPutra akan diteruskan esok dengan kehadiran kumpulan pelajar seterusnya bagi melengkapkan sesi pendaftaran Program Asasi Sains Pertanian bagi Sesi Akademik 2026/2027.

XZHQBA~