
SERDANG, 19 Ogos– Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkasa penerokaan ilmu berkaitan Tamadun Malayonesia menerusi Program Wacana Keilmuan Tamadun Malayonesia Siri 2 yang menghimpunkan pakar daripada pelbagai disiplin ilmu serta rakan kerjasama strategik.
Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada siri pertama yang telah berlangsung pada 19 Jun 2026 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan siri kedua memberi tumpuan kepada perbincangan yang lebih luas dan merentas disiplin dalam meneroka khazanah keilmuan serta warisan intelektual Tamadun Malayonesia.
Timbalan Pengarah INSPEM, Prof. Madya Dr. Nor Asilah Wati Abdul Hamid berkata, penganjuran wacana itu menyediakan platform multidisiplin untuk menghimpunkan pelbagai perspektif dalam memahami cabang ilmu Tamadun Malayonesia.
“Melalui wacana ini, kita berhasrat menyediakan platform multidisiplin untuk membincangkan cabang ilmu Tamadun Malayonesia yang luas, merangkumi bidang seperti perkapalan, perubatan, undang-undang, linguistik, sehinggalah ke keilmuan pra-Islam.
“Kepelbagaian perspektif ini membolehkan kita melihat bagaimana Tamadun Malayonesia bukan sahaja kaya dengan warisan intelektual, malah relevan untuk difahami dalam konteks pembangunan ilmu masa kini,” katanya.
Beliau berkata, siri kedua itu turut menghimpunkan pakar daripada pelbagai disiplin di universiti tempatan bersama rakan kerjasama strategik termasuk Pusat Pengajian dan Penyelidikan Falsafah Melayu (PPFPM), Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta Unit Pemerkasaan Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurutnya, program berkenaan turut menjadi wadah untuk menghargai legasi Prof. Dr. Shaharir Mohd. Zain yang telah mempelopori bidang Etnosains Malayonesia sejak tahun 1990-an.
“INSPEM terpanggil untuk meneruskan usaha beliau kerana kami percaya bahawa penyelidikan yang berakar daripada tamadun sendiri mampu melahirkan naratif ilmu yang lebih autentik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran wacana tersebut dapat menyuntik minat dalam kalangan generasi penyelidik baharu untuk terus menerokai, mentelaah dan memelihara khazanah intelektual Tamadun Malayonesia.
“Lebih penting, wacana ini diharap dapat menyuntik minat generasi penyelidik baharu untuk terus menerokai, mentelaah dan memelihara khazanah intelektual Tamadun Malayonesia agar terus dihargai serta diangkat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.






