Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 30 Sept – Kesatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (KMUPM) memperkenalkan peranan, struktur dan barisan kepimpinan kesatuan kepada pelajar baharu menerusi Slot Bersama Kesatuan Mahasiswa sempena kemasukan pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sesi berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar baharu mengenai KMUPM sebagai badan organisasi perwakilan pelajar tertinggi UPM yang berkhidmat untuk mahasiswa, selain memperkenalkan fungsi serta peranan setiap bahagian dalam kesatuan.
Yang Dipertua KMUPM, Nuqman Naufal Nor Azhari, berkata pelajar baharu perlu mengambil peluang untuk menyertai dan menceburi pelbagai program serta aktiviti yang dianjurkan di UPM sepanjang tempoh pengajian.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak melihat kehidupan universiti semata-mata sebagai usaha mendapatkan segulung ijazah, sebaliknya memanfaatkan pengalaman sepanjang berada di UPM untuk membina pengalaman dan meninggalkan legasi kepada warga universiti.
“Jangan pernah fikir anda hanya grad untuk semata-mata segulung ijazah. Tinggalkan legasi untuk warga UPM pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua 2 KMUPM, Muhammad Faiz Ahmad Zaini, menjelaskan bahawa peralihan daripada Majlis Perwakilan Pelajar kepada Kesatuan Mahasiswa membawa beberapa perubahan dalam struktur dan mekanisme perwakilan mahasiswa di UPM.
Beliau berkata, KMUPM bukan milik individu tertentu, sebaliknya merupakan wadah bersama mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta kepentingan mereka sepanjang berada di universiti.
“KMUPM ini bukanlah milik yang di depan-depan ini. Bukan milik saya, tapi milik setiap daripada kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa konsep kesatuan yang dibawa KMUPM menekankan penyatuan mahasiswa dalam keterangkuman dan kebersamaan sebagai satu komuniti bagi mencapai kesejahteraan, kekuatan dan kemajuan mahasiswa, selaras dengan slogan “Penyatuan Demi Kesatuan”.
Muhammad Faiz berkata, setiap mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan memainkan peranan dalam usaha menambah baik kehidupan mahasiswa di UPM.
“Setiap daripada kita sebenarnya mempunyai hak dan suara untuk menyatakan sesuatu,” katanya.
Sesi berkenaan turut memberi pendedahan kepada pelajar baharu mengenai empat perubahan utama yang diketengahkan melalui struktur Kesatuan Mahasiswa berbanding Majlis Perwakilan Pelajar, iaitu Kod Tatakelola KMUPM sebagai perlembagaan, Parlimen Mahasiswa di bawah kelolaan kesatuan, Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan serta penubuhan sekretariat di bawah Exco Kesatuan.






