Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 21 September – Kolej Dua Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pingat perak dalam kategori Impak dan Kelestarian (SDG) menerusi pembentangan poster bertajuk Inisiatif Edible Garden bagi Memperkukuh Kebajikan dan Jaminan Makanan Mahasiswa pada Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan (SIGMA) 2026, baru-baru ini.
Simposium yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu dianjurkan oleh Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).
UPM menghantar lima penyertaan melalui Majlis Perwakilan Kolej (MPK), terdiri daripada empat pembentangan poster dan satu pembentangan lisan melibatkan Kolej Tun Dr. Ismail, Kolej 10, Kolej 12 dan Kolej Sri Rajang, Bintulu.
Kejayaan Kolej 12 itu menerusi karya yang dihasilkan berdasarkan program peluncuran Kebun Agriva II sempena Bulan Sinergi PUTRA 2026. Karya berkenaan ditulis bersama oleh Dharwin Paramasivam, Suzziyana Hosni, Muhammad Faizee Mohd Fuzi dan Putri Adriana Mohd Hanizel yang terdiri daripada barisan MPK dan Ketua Felo Kolej 12.
Pengetua Kolej Dua Belas, UPM, Profesor Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata, konsep edible garden yang dilaksanakan di kolej kediaman itu menjadi antara keunikan projek berkenaan menerusi kerjasama staf, felo dan mahasiswa.
“Konsep edible garden membantu pelajar mendapat sumber makanan organik berkhasiat secara percuma. Pelajar boleh mengambil sayuran di Kebun Agriva II untuk dimakan, selain perlu bersama-sama menjaga kebun tersebut dengan pemantauan staf dan felo Kolej 12,” katanya.
Dalam sesi pertandingan, mereka turut membawa hasil tuaian segar daripada Kebun Agriva II seperti kacang panjang, bendi, terung dan ulam sambung nyawa sebagai sebahagian daripada pembentangan.
Sementara itu, Pelajar Tahun Satu Bacelor Sains Matematik dengan Kepujian yang juga merupakan ahli MPK Kolej 12, Muhammad Faizee Mohd Fuzi berkata, pengalaman tersebut mengajarnya tentang kepentingan komunikasi yang jelas, kerjasama kumpulan dan keupayaan menjawab soalan secara spontan.
“Dua minit pembentangan saya manfaatkan untuk menyampaikan konsep, objektif dan langkah pelaksanaan projek, manakala lapan minit sesi soal jawab digunakan untuk menerangkan perkara penting yang belum sempat dihuraikan seperti impak, perancangan jangka panjang dan cadangan penambahbaikan,” katanya.
Selain meraih pingat perak, projek berkenaan turut menarik minat beberapa universiti dan agensi luar yang menyatakan hasrat untuk menjalinkan kolaborasi strategik pada masa hadapan.






