| Universiti Putra Malaysia

Lima pelajar UPM terima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2026

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 24 Jun – Lima pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026, membuktikan kecemerlangan universiti dalam melahirkan penyelidik dan bakat akademik berprestasi tinggi di peringkat pascasiswazah.

 

Bagi peringkat Doktor Falsafah (PhD), tiga pelajar UPM berjaya dipilih sebagai penerima biasiswa berprestij itu, iaitu Afiefah Zulkifli dalam bidang Pemakanan, Chua Hui Qi (Matematik dan Statistik) serta Giroon Ijod dalam bidang Pemakanan.

 

Sementara itu, bagi peringkat Master, dua pelajar UPM turut menerima pengiktirafan tersebut, iaitu Mohamad Izuwansah Ishak (Persekitaran) dan Puteri Najihah Athirah Zamrifana (Sains Veterinar).

 

Biasiswa Yang di-Pertuan Agong merupakan antara biasiswa paling berprestij di negara ini yang dianugerahkan kepada pelajar pascasiswazah cemerlang berdasarkan pencapaian akademik, potensi kepimpinan serta keupayaan menyumbang kepada pembangunan negara menerusi penyelidikan dan inovasi.

 

Naib Canselor UPM, Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata kejayaan para pelajar tersebut membuktikan komitmen UPM dalam melahirkan graduan dan penyelidik berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

“Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar UPM serta ekosistem akademik dan penyelidikan yang sentiasa menyokong pembangunan bakat berimpak tinggi.

 

“Saya berharap para penerima akan terus mengangkat nama universiti dan negara melalui penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara,” katanya.

 

Dalam pada itu, pencapaian itu turut mencerminkan kekuatan UPM sebagai universiti penyelidikan yang sentiasa komited memperkasa budaya kecemerlangan akademik, inovasi dan penyelidikan dalam pelbagai bidang strategik.

XZHRQAt~