
Oleh: Husnina Zahra Hadri
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
SERDANG, 2 Jul – Inovasi kreatif penghasilan boba berasaskan kulit pisang yang dinamakan ‘Boba-Go’ oleh sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) diperkenalkan sebagai alternatif lebih sihat dan selamat kepada pengguna.
Ketua kumpulan, Wardah Qistina Ismail, 22, berkata idea menghasilkan produk tersebut tercetus selepas kumpulannya mengenal pasti isu penghadaman kanji boba konvensional yang boleh meningkatkan risiko tercekik, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
“Kami mahu menghasilkan alternatif yang lebih baik kepada boba sedia ada dengan menambah kandungan serat supaya teksturnya lebih lembut dan mudah dikunyah.
“Kami memilih kulit pisang sebagai bahan utama kerana ia mampu meningkatkan kandungan serat seterusnya membantu melembutkan tekstur boba,” katanya.
Menurut beliau, kumpulannya memilih menggunakan pisang tempatan kerana kosnya rendah, mudah diperoleh dan mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan semula memandangkan jumlah sisa kulit pisang di Malaysia masih tinggi.
“Bagi penghasilan produk ini, kami menggunakan kulit pisang berangan dan pisang emas yang mempunyai kandungan serat tinggi sebagai sumber bahan mentah.
“Namun, bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), kami memilih pisang berangan kerana buahnya lebih lambat lebam berbanding pisang emas, sekali gus memudahkan proses pemprosesan bahan mentah,” katanya.

Wardah berkata, penggunaan serbuk kulit pisang dalam formulasi boba bukan sahaja meningkatkan kandungan serat, malah membantu memperbaiki penghadaman kanji serta menghasilkan tekstur yang lebih lembut serta selamat dimakan.
Produk yang dihasilkan turut menggunakan teknologi retort yang membolehkan boba disimpan pada suhu bilik sehingga setahun tanpa menjejaskan kualiti.
“Pengguna hanya perlu merendam boba selama kira-kira 30 saat dalam air panas sebelum dihidangkan, berbanding boba biasa yang memerlukan masa memasak sehingga 30 hingga 40 minit.
“Selain menjimatkan masa, produk ini juga ditawarkan pada harga mampu milik dan direka dalam saiz hidangan individu bagi memastikan aspek kebersihan lebih terjamin,” katanya.
Proses pembangunan produk tersebut mengambil masa kira-kira lapan hingga 10 minggu bermula daripada pembangunan formulasi, penyediaan bahan mentah, analisis produk sehingga penghasilan prototaip akhir.

Dalam pada itu, beliau berharap ‘Boba-Go’ dapat dikomersilkan sebagai pilihan yang lebih baik kepada pengguna tanpa menjejaskan pengalaman menikmati boba.
Perkongsian inovasi produk tersebut dipamerkan di Majlis Pengenalan Produk Baharu oleh pelajar semester enam Bacelor Sains dan Teknologi Makanan Dengan Kepujian (BSTMDK), bagi memenuhi keperluan kursus FST4828 Pembangunan Produk Makanan Baharu.


.jpeg)
.jpeg)

.jpg)
.jpg)