| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM raih anugerah Hadiah Sastera Darul Ridzuan buat kali kelima

 


Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 29 Julai - Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hani Salwah Yaakup mengharumkan nama universiti apabila menerima anugerah Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) Ke-9 bagi Kategori B: Karya Eceran (Puisi) pada majlis anjuran Kerajaan Negeri Perak yang berlangsung di Ipoh, Perak, baru baru ini.

 


Beliau yang juga merupakan Penyelidik di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) menerima sijil, plak serta wang tunai yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad atas kemenangan puisi bertajuk Pada Ketika Takdir, sekali gus merekodkan kejayaan kelima beliau dalam anugerah itu menerusi pelbagai genre penulisan termasuk penulisan ilmiah, cerpen, puisi, rencana dan kritikan.

 


Menurut Dr. Hani Salwah, pengiktirafan tersebut amat bermakna kerana membuktikan karya kreatif turut mempunyai nilai akademik dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

 


"Pengiktirafan ini amat berharga kepada saya selaku ahli akademik kerana penulisan dalam bidang kreatif diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Perak.

 


"Pada masa sama, ia membuktikan bahawa penulisan kreatif yang berkualiti mampu diterima dan dinilai dengan baik oleh panel juri, selain memberi nilai tambah yang positif kepada masyarakat," katanya.

 


Mengulas mengenai puisi yang memenangi anugerah itu, beliau berkata karya tersebut membawa mesej tentang kepasrahan kepada ketentuan Ilahi tanpa mengabaikan usaha dan doa dalam mengejar impian hidup.

 


"Mesej utama puisi ini ialah penyerahan kepada Pencipta terhadap segala qada dan qadar yang ditentukan. Namun begitu, manusia perlu terus berdoa dan berusaha untuk mencapai hasrat yang diimpikan dengan penuh keyakinan terhadap ketentuan yang terbaik," katanya.

 


Beliau berkata, kekuatan karya tersebut mungkin terletak pada susunan idea dan pengucapan yang sederhana, namun mampu menyentuh hati pembaca.

 


"Meskipun tidak menggunakan perlambangan yang besar atau berlebihan, puisi ini mampu menyentuh emosi pembaca dan menarik perhatian panel juri," katanya.

 


Dr. Hani Salwah berkata, pencapaian itu turut membuktikan warga UPM mempunyai kreativiti tinggi dan mampu melahirkan karya yang berdaya saing di peringkat kebangsaan.

 


"Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga UPM, khususnya pelajar dalam bidang kesusasteraan Melayu dan komunikasi untuk terus berkarya.

 


"Walaupun saya merupakan pensyarah kanan di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, saya tetap aktif menghasilkan karya kreatif di samping penulisan akademik," katanya.

 


Kejayaan tersebut mencerminkan kecemerlangan warga UPM dalam bidang penulisan kreatif serta menyokong usaha universiti melahirkan ahli akademik yang bukan sahaja cemerlang dalam penyelidikan dan pengajaran, malah turut menyumbang kepada pembangunan kesusasteraan dan budaya ilmu di peringkat nasional.

XZKEFAw~