| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM terima Anugerah Emerging Alumni Leader 2026

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 1 Julai – Pensyarah, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mariatulqabtiah Abdul Razak, mengharumkan nama universiti apabila menerima Anugerah Emerging Alumni Leader 2026 daripada Imperial College London, United Kingdom, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan serta sumbangan cemerlang beliau dalam bidang bioteknologi, penyelidikan dan inovasi.

 

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Presiden Imperial College London, Profesor Hugh Brady, pada majlis Inspire Through Impact Celebration yang berlangsung di Muzium Sains, South Kensington, London pada 16 Jun lalu.

 

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada alumni Imperial College London yang menunjukkan kepimpinan cemerlang serta memberikan sumbangan signifikan dalam bidang masing-masing dalam tempoh 15 tahun pertama selepas menamatkan pengajian.

 

Dr. Mariatulqabtiah berkata, pengiktirafan itu merupakan penghormatan besar yang bukan sahaja mencerminkan usaha beliau sebagai penyelidik, malah menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan penyelidikan dan bakat akademik yang dimiliki UPM.

 

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati menerima pengiktirafan ini dan ia bukan sekadar pencapaian peribadi sebaliknya hasil sokongan rakan penyelidik, pelajar, pihak universiti serta semua kolaborator yang bersama-sama menjayakan penyelidikan berimpak tinggi.

 

“Anugerah ini menjadi pemangkin untuk saya terus memperkukuh penyelidikan berasaskan inovasi, memperluas kerjasama strategik dengan industri dan institusi antarabangsa serta memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

 

Sejak menyertai UPM pada 2011, Dr. Mariatulqabtiah yang juga Timbalan Dekan (Jaringan Industri Dan Masyarakat), FBSB, UPM telah membina reputasi sebagai penyelidik yang aktif memacu pembangunan bioteknologi melalui penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang bioteknologi, vaksinologi dan kesihatan awam.

 

Penyelidikan beliau memberi tumpuan kepada penterjemahan penemuan saintifik kepada penyelesaian praktikal yang dapat dimanfaatkan oleh industri, komuniti dan negara.

 

Selain kecemerlangan dalam penyelidikan, beliau turut menerajui pelbagai kerjasama strategik melibatkan institusi akademik, industri, agensi kerajaan dan komuniti bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.

 

Komitmen beliau dalam membimbing penyelidik muda serta membangunkan bakat saintifik turut menyumbang kepada penghasilan penyelidikan yang berimpak tinggi dan memperluas jaringan kerjasama di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

 

Dr. Mariatulqabtiah turut mengetuai pelbagai inisiatif yang memperkukuh hubungan universiti dengan industri melalui penyelidikan berteraskan inovasi, pemindahan teknologi, pengkomersialan hasil penyelidikan dan program libatsama masyarakat.

 

Pencapaian ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan peribadi Dr. Mariatulqabtiah, malah memperkukuh reputasi UPM sebagai universiti penyelidikan yang melahirkan ahli akademik dan penyelidik bertaraf dunia.

 

Dalam pada itu, pengiktirafan daripada Imperial College London, yang kini menduduki tempat pertama di United Kingdom dan Eropah serta kedua di dunia dalam QS World University Rankings 2027, turut mencerminkan keupayaan warga UPM untuk bersaing dan diiktiraf di pentas antarabangsa.

 

XZHFKAg~