Pemergian seorang guru yang pernah menjadi sumber inspirasi tidak memadamkan hasrat Saffiya Najwa Mohamad Zubir, 20, untuk menjejakkan kaki ke Universiti Putra Malaysia (UPM), malah pesanan akhir gurunya itu menjadi antara sebab beliau memilih universiti berkenaan.
Anak ketiga daripada empat beradik dari Padang Serai, Kedah kini memulakan pengajian dalam program Bacelor Pendidikan Sains Pertanian, Fakulti Pendidikan(FPP), UPM.
“Saya minat untuk melanjutkan pengajian di UPM kerana arwah cikgu Rahim Ahmad banyak berkongsi pengalamannya sebagai alumni UPM.
“Walaupun cikgu sudah tiada, saya tetap ingat galakan dan cerita beliau tentang UPM. Jadi, saya teringin untuk merasai sendiri pengalaman belajar di sini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memilih Pendidikan Sains Pertanian kerana minat yang dipupuk sejak di bangku sekolah apabila beliau mengambil subjek pertanian dan mula tertarik dengan bidang tersebut.
“Saya memang minat pertanian. Sebab itu saya memilih Pendidikan Sains Pertanian dan berharap dapat mendalami bidang ini serta menjadi guru dalam bidang pertanian,” katanya.
Kini beliau menyimpan harapan untuk menamatkan pengajian dengan jayanya selain memperoleh pengalaman baharu sepanjang bergelar pelajar UPM.
“Saya mahu belajar dengan lebih mendalam bidang ini kerana saya bukan hanya akan menjadi seorang guru tetapi juga seorang petani moden,” ujarnya.






