| Universiti Putra Malaysia

Program Asasi Sains Pertanian UPM jadi langkah pertama dua mahasiswa kejar impian profesional

 

 

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 

Foto oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

SERDANG, 25 Jun – Program Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi titik permulaan buat dua mahasiswa baharu yang membawa impian besar untuk bergelar doktor veterinar dan doktor perubatan apabila mendaftar bagi sesi akademik 2026/2027 di kampus UPM, hari ini.

 

 

Bagi anak kelahiran Sungai Petani, Kedah, Aliya Raeesa Amme, peluang melanjutkan pengajian di UPM merupakan satu pencapaian yang amat bermakna kerana universiti itu menjadi pilihan utamanya sejak di bangku sekolah.

 

 

Beliau berkata, minat yang mendalam terhadap bidang veterinar mendorongnya memilih Program Asasi Sains Pertanian UPM sebagai laluan terbaik untuk merealisasikan cita-citanya.

 

 

“Saya sangat gembira kerana berjaya memasuki program Asasi di UPM. Inilah universiti yang saya sasarkan sejak awal lagi dan saya bersyukur impian itu akhirnya menjadi kenyataan.

 

 

“Saya berharap dapat belajar bersungguh-sungguh, memperoleh keputusan cemerlang dan seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar di UPM,” katanya.

 

 

Aliya berkata, beliau juga tidak sabar untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa, mengenali rakan-rakan baharu serta menimba ilmu dan pengalaman sepanjang berada di universiti.

 

 

Sementara itu, bapanya, Amme Ammeran, yang juga alumni UPM, melahirkan rasa bangga apabila anaknya meneruskan legasi keluarga di universiti yang sama.

 

 

Menurut beliau, UPM mempunyai reputasi yang cemerlang dalam bidang pertanian dan veterinar, sekali gus menjadikannya pilihan terbaik untuk anaknya mengejar cita-cita.

 

 

“Saya sentiasa berpesan supaya dia menjaga diri, sentiasa mengingati Tuhan dan memberikan sepenuh komitmen terhadap pelajaran. Peluang yang diperoleh ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana bukan semua orang berpeluang melanjutkan pengajian di universiti yang diimpikan,” katanya.

 

 

Bagi seorang lagi mahasiswa baharu, Jolin Lee Shun Qi, berkata pendaftaran di UPM membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila buat pertama kali perlu berjauhan daripada keluarga dan belajar berdikari.

 

 

Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui perasaan gementar menyelubungi dirinya, namun keterujaan untuk bergelar mahasiswamengatasi segala kebimbangan.

 

 

“Sudah tentu saya berasa gementar kerana ini kali pertama saya tinggal berjauhan daripada keluarga. Saya perlu menguruskan semuanya sendiri dan perjalanan untuk pulang ke rumah juga agak jauh.

 

 

“Namun, saya teruja untuk memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti. Saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, memperoleh ramai rakan dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

 

 

Beliau yang bercita-cita menjadi doktor berharap keputusan cemerlang sepanjang mengikuti Program Asasi Sains Pertanian akan membolehkannya menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang perubatan.

 

 

“Saya sedar persaingan untuk memasuki bidang perubatan sangat sengit, namun saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai impian itu,” katanya.

XZHRQAt~