| Universiti Putra Malaysia

Star Coffee UPM Perkukuh Ekosistem Keusahawanan dan Interaksi Kampus

 

SERDANG, 17 September– Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh ekosistem pembelajaran dan keusahawanan pelajar menerusi pembukaan Star Coffee UPM di Fakulti Pertania yang bukan sahaja berfungsi sebagai ruang komersial, malah menjadi platform interaksi antara pelajar, staf dan pihak industri.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, inisiatif berkenaan membawa nilai akademik dan pembangunan yang lebih luas menerusi pengenalan Program Latihan dan Pengurusan Keusahawanan, yang memberi peluang kepada pelajar mendapatkan pendedahan terhadap pengurusan serta operasi perniagaan sebenar.

 

“Namun begitu,  saya tegaskan bahawa kerjasama ini bukan sekadar perjanjian penyewaan komersial biasa. Inti pati sebenar inisiatif ini terletak pada nilai akademik dan pembangunan yang besar kepada para pelajar kita.

 

“Menerusi kerjasama ini, kami berbesar hati memperkenalkan ‘Program Latihan dan Pengurusan Keusahawanan’. Program ini dirangka khusus untuk merapatkan jurang antara pembelajaran berasaskan teori di dalam bilik kuliah dengan pengalaman operasi perniagaan sebenar,” katanya.

 

Beliau berkata, kewujudan Star Coffee UPM turut menyediakan ruang interaksi yang kondusif untuk pembelajaran dan perbincangan tidak formal dalam kalangan warga kampus, di samping menyokong jaringan interaksi antara pelajar, staf dan pihak industri.

 

 

“Inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada usaha mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada universiti secara berkesan tanpa menjejaskan fungsi akademik dan operasi fakulti.

 

“Pada masa sama, kerjasama tersebut mengukuhkan hubungan strategik antara Fakulti Pertanian UPM dengan pihak industri menerusi penglibatan secara langsung dalam ekosistem kampus, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan pendedahan dunia perniagaan kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya, kejayaan merealisasikan inisiatif berkenaan adalah hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk CPF Malaysia yang menjadi pencetus kepada visi serta cadangan perniagaan bagi pelaksanaan kerjasama tersebut.

 

“Pencapaian pada skala ini hanya dapat direalisasikan menerusi usaha gigih dan semangat kerjasama daripada pelbagai pihak. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada CPF Malaysia, yang telah mencetuskan visi awal serta mengemukakan cadangan perniagaan yang menjadi asas kepada apa yang kita saksikan pada hari ini,” katanya.

XZKQJA~