| Universiti Putra Malaysia

UPM cungkil bakat matematik negara menerusi OMUM 2026

 

 

Oleh: Aimi Mohamad Farid


Foto: Saleha Haron

 

 

SERDANG, 6 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan mahasiswa terbaik dari seluruh negara menerusi Olimpiad Matematik Universiti Malaysia (OMUM) 2026, sekali gus menjadi platform mencungkil bakat matematik berpotensi tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara.

 

 

Majlis Penyampaian Hadiah OMUM 2026 anjuran Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM meraikan kecemerlangan peserta daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berjaya membuktikan keupayaan menyelesaikan cabaran matematik aras tinggi melalui pemikiran kritis, analitikal dan kreatif.

 

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, penganjuran OMUM selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah kompleks serta bersedia memimpin pembangunan negara berasaskan ilmu, teknologi dan inovasi.

 

 

“Matematik bukan sekadar satu disiplin ilmu, sebaliknya menjadi asas kepada kemajuan sains, teknologi, kecerdasan buatan, kejuruteraan dan inovasi yang memacu pembangunan negara.

 

 

“Pertandingan seperti ini menjadi medan untuk mengenal pasti, mengasah dan mengiktiraf bakat mahasiswa yang berpotensi menjadi penyelidik, saintis dan pemimpin masa depan, sekali gus menyokong hasrat UPM melahirkan modal insan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

 

 

Pengarah INSPEM, Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali berkata, OMUM yang bermula sebagai Olimpiad Matematik Universiti Awam (OMUA) pada tahun 2016 kini berkembang menjadi pertandingan berprestij yang menghimpunkan mahasiswa daripada universiti awam dan swasta di seluruh negara.

 

 

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan OMUM semakin mendapat pengiktirafan sebagai platform penting untuk mengenal pasti bakat matematik negara sebelum diketengahkan ke pertandingan di peringkat antarabangsa.

 

 

“Penyertaan yang semakin meluas menunjukkan minat mahasiswa terhadap bidang matematik terus berkembang. Kami berharap OMUM akan terus menjadi pentas melahirkan lebih ramai bakat yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

 

Pengerusi OMUM 2026, Dr. Siti Suzilliana Putri Mohamed Isa berkata, pertandingan itu bukan sekadar menguji kebolehan peserta menyelesaikan masalah matematik aras tinggi, malah membentuk daya fikir analitikal, ketahanan mental, kreativiti dan keyakinan diri.

 

 

“Keupayaan berfikir secara logik serta menyelesaikan masalah kompleks merupakan kemahiran yang amat diperlukan dalam pelbagai bidang profesional pada masa kini. OMUM memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi tersebut dalam suasana persaingan yang sihat,” katanya.

 

 

OMUM 2026 menerima penyertaan seramai 154 mahasiswa daripada 26 institusi pengajian tinggi dalam pusingan kelayakan sebelum 74 peserta terbaik berjaya mara ke pusingan akhir yang berlangsung di UPM pada 23 Mei lalu.

 

 

Dalam pertandingan itu, Khoh Kiang Phin dari Universiti Malaya dinobatkan sebagai johan, manakala Lim Yu Qian dari Universiti Putra Malaysia muncul naib johan dan Ng Bang Qi dari Universiti Teknologi Malaysia meraih tempat ketiga. Seramai 10 peserta lagi menerima hadiah saguhati sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka.

 

 

Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,100 berserta plak dan sijil penghargaan disampaikan kepada para pemenang.

 

 

Bagi naib johan OMUM 2026, Lim Yu Qian, kejayaan mempertahankan kedudukan naib johan buat kali kedua berturut-turut menjadi bukti bahawa konsistensi dan disiplin adalah kunci utama untuk mencapai kecemerlangan.

 

 

“Saya sedikit kecewa kerana tidak berjaya muncul juara, namun pada masa yang sama saya bersyukur kerana dapat mempertahankan kedudukan ini. Pencapaian ini memberi motivasi kepada saya untuk terus mendalami bidang matematik dan mencabar diri ke tahap yang lebih tinggi.

 

 

“Cabaran sebenar bukan ketika pertandingan berlangsung, tetapi mengekalkan disiplin untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan. Saya percaya setiap kejayaan bermula dengan usaha yang konsisten,” katanya.

 

 

Penganjuran OMUM 2026 mencerminkan peranan UPM sebagai institusi yang membangunkan bakat STEM negara melalui ekosistem akademik dan penyelidikan yang menyokong lahirnya generasi pemikir, saintis dan inovator yang mampu menyumbang kepada kemajuan Malaysia pada masa hadapan.

XZHRQA4~