
SERDANG, 11 Ogos 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Kejuruteraan dengan kerjasama Koperasi UPM Berhad (KUPUTRA), World Robotic Center Association Malaysia dan Robotika Nusantara Association Indonesia menjadi tuan rumah World Robotic Center Competition 2026 (WRCC2026), sebuah pertandingan robotik bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan lebih 1,200 peserta daripada pelbagai peringkat pendidikan dan negara.
Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datin Zuraini Abu Hassan berkata penguasaan STEM, robotik dan teknologi digital dalam melahirkan generasi masa hadapan yang kompeten serta berdaya saing di peringkat global.
“Penyertaan lebih 1,200 peserta dalam kejuaraan berkenaan menunjukkan bahawa bidang robotik dan teknologi digital semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
“Platform seperti WRCC2026 berjaya menghimpunkan pelajar, pendidik, pakar industri dan komuniti antarabangsa dalam satu ekosistem pembelajaran yang dinamik dan progresif,” katanya.
Beliau berkata, WRCC2026 turut menyediakan ruang kepada murid dan pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik darjah dalam suasana yang lebih praktikal.
“Robotik bukan sekadar mengenai pembinaan robot atau pengaturcaraan semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan medium yang berkesan untuk membentuk kemahiran berfikir aras tinggi, menyelesaikan masalah, bekerja secara berpasukan, berkomunikasi dengan berkesan serta membina kreativiti dan daya tahan diri.
“Kesemua kemahiran ini merupakan antara kompetensi penting yang diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir, menyifatkan pemilihan UPM sebagai hos WRCC2026 sebagai satu penghormatan besar serta pengiktirafan terhadap keupayaan universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa.|
“WRCC2026 merupakan satu manifestasi komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan STEM serta membangunkan bakat muda dalam bidang robotik, automasi, kecerdasan buatan dan teknologi digital.
“Seiring dengan perkembangan pesat Revolusi Industri 4.0, institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan generasi masa hadapan bukan sahaja celik teknologi, malah mampu menjadi pencipta dan peneraju kepada teknologi tersebut,” katanya.
Katanya, WRCC2026 bukan sekadar medan pertandingan, malah merupakan platform pembangunan bakat yang memberikan pengalaman pembelajaran bermakna kepada peserta, guru, pensyarah, penyelidik dan pemain industri menerusi pelbagai aktiviti berkaitan robotik, automasi, teknologi digital dan inovasi.
“Kejuaraan ini menyediakan platform yang sangat signifikan bagi membentuk pelajar yang mempunyai kemahiran teknikal, keupayaan menyelesaikan masalah, daya kreativiti, pemikiran kritis dan kemahiran kepimpinan yang diperlukan dalam landskap global yang semakin mencabar,” katanya.
“Penganjuran WRCC2026 turut memberi impak besar kepada warga Fakulti Kejuruteraan UPM, khususnya Kelab Robotik UPM dan Majlis Perwakilan Fakulti Kejuruteraan (PEMAJU) yang terlibat secara langsung dalam pengurusan program berkenaan.
“Mereka bukan sahaja berpeluang mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi profesional, bahkan didedahkan kepada pengalaman mengendalikan acara bertaraf antarabangsa yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.





.jpg)
