
Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 7 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyuntik semangat kontinjen stafnya menjelang Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) menerusi Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Staf UPM sebagai simbolik pelepasan kontinjen ke kejohanan yang akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu pada 7 hingga 16 Ogos ini.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata kontinjen UPM membawa misi besar untuk mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara keseluruhan pada edisi 2022 dan 2024, sekali gus berpeluang mencipta sejarah sebagai universiti awam pertama meraih kejuaraan SUKUM sebanyak tiga kali berturut-turut.
“Saya yakin dengan semangat berpasukan, disiplin yang tinggi, persiapan yang rapi serta komitmen padu daripada semua atlet, jurulatih dan pegawai, sasaran tersebut mampu direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata kontinjen UPM mensasarkan 16 pingat emas pada edisi kali ini dan berharap sasaran itu bukan sahaja dapat dicapai, malah melepasi jangkaan demi mengharumkan nama universiti.
Kontinjen UPM yang diketuai Pendaftar UPM, Muhazam Mansor selaku ketua kontinjen, menghantar seramai 257 atlet dan pegawai untuk bertanding dalam 18 daripada 19 acara sukan yang dipertandingkan bersama kontinjen daripada 20 universiti awam.

Antara acara yang disertai termasuk tenpin boling, tenis, badminton lelaki dan wanita, futsal, catur, olahraga, dart, berbasikal lasak, golf, bola tampar, bola sepak senior dan veteran, memanah, bola jaring, petanque, ping pong dan sepak takraw.
Sementara itu, jurulatih pasukan badminton, Ahmad As-Shalabi Mohamad, berkata pasukannya telah menjalani persiapan hampir dua bulan menerusi proses pemilihan pemain sebelum diteruskan dengan latihan berfasa mengikut kategori lelaki dan wanita.
“Kami melihat semua pemain kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik menjelang kejohanan hasil persiapan dan latihan yang telah dijalankan sejak hampir dua bulan lalu," katanya.
Pengurus pasukan badminton, Abdul Rahim Othman, berkata pasukan badminton UPM menyasarkan satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa, selain berharap mampu melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Kami berharap pasukan dapat memberikan aksi terbaik dan memperoleh pencapaian yang lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan penyerahan bendera oleh Naib Canselor UPM kepada ketua kontinjen serta bacaan ikrar atlet sebagai simbol kesediaan kontinjen mempertahankan kejuaraan pada SUKUM 2026.




.jpeg)

