| Universiti Putra Malaysia

Young Scientist Day 2026 lahirkan saintis cilik celik STEAM

 

 

 

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 

 

SERDANG, 3 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyemarakkan budaya literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran Young Scientist Day (YSD) 2026, yang memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap dunia sains melalui pembelajaran secara interaktif dan berasaskan pengalaman.

 

 

Pengerusi YSD 2026, Prof. Madya Dr. Sandra Maniam berkata, program itu dirangka bagi memperkenalkan konsep sains kepada kanak-kanak menerusi pendekatan yang menyeronokkan, mudah difahami dan menggalakkan pembelajaran secara amali.

 

 

“Kami mahu memastikan kanak-kanak dapat memahami konsep sains tanpa perlu melalui penjelasan yang terlalu teknikal atau kompleks.

 

 

“Pendekatan pembelajaran secara amali membolehkan mereka meneroka, mencuba dan memahami sendiri konsep sains melalui aktiviti yang bersifat hands-on,” katanya.

 

 

Program anjuran Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM itu turut melibatkan kerjasama pelbagai jabatan di FPSK serta Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Pertanian, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam menyampaikan ilmu sains kepada masyarakat melalui pendekatan merentas disiplin.

 

 

Selaras dengan identiti UPM sebagai universiti berteraskan pertanian, program itu turut mengetengahkan zon Little Agro Explorers yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti Seed Detective, Farm to Food Game dan Plant Scientist Lab bagi memperkenalkan asas pertanian serta keterjaminan makanan kepada kanak-kanak sejak usia muda.

 

 

 

Ibu kepada peserta, Nurul Amirah Abd Hamid berkata, program itu membuka peluang kepada kanak-kanak mempelajari perkara baharu melalui aktiviti yang interaktif dan menyeronokkan.

 

 

“Anak-anak bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah dapat berinteraksi dengan fasilitator serta rakan-rakan lain, sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi mereka.

 

 

“Saya berharap program seperti ini dapat diperluaskan supaya lebih ramai kanak-kanak berpeluang meneroka potensi diri dan memupuk minat terhadap sains sejak usia muda,” katanya.

 

 

Seorang lagi ibu kepada peserta, Nurul Huda Mohd Nor berkata, beliau sentiasa menantikan penganjuran YSD kerana program itu memberi pendedahan awal kepada anak-anak terhadap persekitaran universiti dan kaedah pembelajaran yang lebih praktikal.

 

 

“Anak-anak saya telah menyertai program ini sebanyak tiga kali dan setiap penganjuran memberikan pengalaman serta aktiviti yang berbeza.

 

 

“Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat diadakan kerana ia membantu kanak-kanak belajar melalui penerokaan dan eksperimen, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada gajet,” katanya.

 

 

Program itu turut diperkasakan melalui kerjasama strategik bersama PERKESO Sdn. Bhd., Biomarketing Services Sdn. Bhd., Smart Biogas Enterprise, MBFE Sdn. Bhd. (Salad Atelier), Zuspresso Sdn. Bhd., Pure Rehab Sdn. Bhd. dan eDU-PARK, selain dimeriahkan dengan penyertaan lori susu Farm Fresh, Milo serta 26 vendor makanan.

XZHFKAg~