| Universiti Putra Malaysia

Dua Pasang Kembar, Satu Destinasi di UPM

Melangkah ke alam universiti bersama insan yang mempunyai wajah seiras mungkin menjadi pengalaman tersendiri, namun bagi dua pasangan kembar ini, persamaan itu turut menjadi teman dalam perjalanan baharu mereka sebagai pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Bagi Pelajar Bachelor Pendidikan Jasmani, Fakulti Pendidikan, Afia Irfarina Azni Raes dan kembarnya,Pelajar Bachelor Pendidikan Sains Rumah Tangga, Fakulti Pendidikan,  Afia Irsalina Azni Raes, belajar di UPM bukanlah sebuah pengalaman pertama yang dikongsikan kerana mereka tidak pernah berpisah sejak sekolah rendah, sekolah menengah dan ketika mengikuti pengajian Asasi di UPM.

 

Afia Irfarina berkata, mereka adalah anak kesembilan dan kesepuluh. Manakala 3 lagi adik beradik turut menyambung pengajian di sini.

 

 

“Saya minat sukan sejak di bangku sekolah membuatkan saya memilih bidang Pendidikan Jasmani dan lebih cenderung kepada aktiviti yang lasak dan pernah aktif dalam pelbagai acara sukan.

 

“Saya memang minat sukan. Sejak sekolah menengah lagi saya aktif dalam pelbagai sukan dan kami berdua memperoleh pingat emas dalam banyak pertandingan sukan yang disertai.

 

“Pada masa sama, saya juga mahu membantu pelajar membina pengetahuan dan kemahiran melalui bidang sukan,” katanya.

 

Berbeza dengan kakaknya, Afia Irsalina memilih bidang Pendidikan Sains Rumah Tangga kerana minatnya terhadap jahitan dan seni yang dipupuk sejak kecil.

 

Katanya, kecenderungan itu turut dipengaruhi ibunya yang merupakan seorang guru Biologi, selain mahu menjadikan kemahiran menjahit sebagai sesuatu yang boleh dikembangkan kepada kerjaya dan perniagaan.

“Saya suka menjahit kerana ibu.

 

“Saya bercadang membuka perniagaan jahitan sendiri serta mengambil tempahan secara sambilan,” katanya.

 

 

Walaupun membesar dan melalui sebahagian besar perjalanan pendidikan bersama, pasangan kembar itu mengakui kehidupan di universiti memberi ruang kepada mereka untuk berdikari dan membina pengalaman masing-masing.

 

Sementara itu, pasangan kembar lain, Nur Maisarah Md Idris dan Nur Humaira Md Idris, turut berkongsi satu lagi persamaan apabila kedua-duanya memilih bidang pengajian yang sama di UPM.

Kedua-duanya kini mengikuti Bachelor Kewangan Gunaan dengan Kepujian, School of Business and Economics (SBE) UPM, sekali gus menjadikan pengalaman mereka di kampus lebih menarik apabila dapat mempelajari bidang yang sama bersama insan yang sudah menjadi teman sejak kecil.

 

Bagi kedua-dua pasangan kembar itu, kehidupan sebagai mahasiswa UPM bukan sekadar berkongsi wajah dan pengalaman bersama, tetapi turut memberi peluang untuk mereka mengenali diri, membina persahabatan baharu serta mengejar cita-cita masing-masing.

XZKQVAd~