| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM bangunkan SOILPROP Mapper, bantu petani tingkat hasil padi dan jimat baja


Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 15 Okt – Pegawai Penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ezrin Mohd Husin berjaya membangunkan SOILPROP Mapper, iaitu sistem pemetaan sifat dan kesuburan tanah secara masa nyata yang membolehkan petani menentukan kadar pembajaan berdasarkan keperluan sebenar tanah.

 

Teknologi ini berpotensi meningkatkan hasil tanaman serta mengoptimumkan penggunaan baja dan mengurangkan kos pengeluaran pertanian. Sistem itu membolehkan petani memperoleh maklumat kesuburan tanah yang lebih terperinci berbanding kaedah konvensional yang bergantung pada sampel tanah terhad untuk mewakili kawasan ladang yang luas.

 

Selain itu, inovasi tersebut mencerminkan usaha UPM dalam memanfaatkan penyelidikan kejuruteraan bagi memperkukuh amalan pertanian berasaskan data, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan menyokong pengeluaran tanaman yang lebih produktif serta mampan.

 

Dr. Ezrin berkata, penyelidikan berkaitan kesuburan tanah itu telah dimulakan sejak 2003 dengan tumpuan awal kepada tanaman padi sebelum diperluas kepada kelapa sawit dan tanaman lain. SOILPROP Mapper mula dibangunkan pada 2010 khusus untuk membantu pengurusan tanah dan pembajaan di sawah padi.

 

“Tanah merupakan sumber penting untuk pertumbuhan tanaman. Sebagai penyelidik dalam bidang kejuruteraan, tumpuan kami bukan sahaja kepada tanaman itu sendiri, tetapi juga pembangunan teknologi dan peralatan yang dapat membantu meningkatkan pertumbuhan serta hasil tanaman,” katanya.

 

Tambah beliau, SOILPROP Mapper mengintegrasikan sensor, sistem penentududukan global (GPS), komputer dan perisian analisis dalam satu sistem yang dipasang pada traktor. Sensor yang diletakkan di bahagian belakang traktor akan menyentuh permukaan tanah dan mengambil bacaan ketika traktor bergerak di kawasan ladang.

 

“Melalui kaedah itu sistem merekodkan data pada setiap jarak satu meter bagi menghasilkan maklumat yang lebih padat tentang variasi kesuburan tanah. Data yang dikumpulkan kemudiannya diproses melalui pemodelan dan analisis untuk menghasilkan peta kesuburan ladang serta cadangan pembajaan berdasarkan keadaan tanah di lokasi berkenaan,” katanya.

 

Beliau berkata, kaedah tersebut berbeza daripada amalan konvensional yang lazimnya mengambil satu sampel tanah untuk mewakili kawasan sehingga empat hektar sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

 

“Dengan SOILPROP Mapper, variasi kandungan nutrien dapat dikenal pasti dengan lebih terperinci ia membantu petani mengurus pembajaan mengikut keperluan setiap kawasan,” katanya.

 

Dr. Ezrin berkata, pembajaan secara seragam boleh menyebabkan penggunaan baja yang tidak seimbang kerana tidak semua bahagian ladang mempunyai tahap kesuburan dan keperluan nutrien yang sama.

 

“Melalui maklumat yang dijana sistem itu, kawasan yang kekurangan nutrien boleh diberikan baja mengikut keperluan, manakala kawasan yang mempunyai nutrien mencukupi dapat diurus dengan kadar pembajaan yang lebih optimum.

 

“Dengan sistem ini, petani bukan sahaja dapat mengetahui tahap kesuburan tanah, malah memperoleh maklumat tentang jumlah baja yang diperlukan. Data tersebut boleh dijadikan panduan untuk mengurus pembajaan dengan lebih tepat dan berkesan,” katanya.

 

Beliau berkata, pengalaman penggunaan sistem itu oleh petani turut menunjukkan potensi peningkatan produktiviti tanaman padi.

 

“Berdasarkan pengalaman yang dikongsikan, hasil padi dilaporkan meningkat daripada enam tan kepada 10.65 tan, manakala penggunaan baja dapat dikurangkan sebanyak 40 peratus melalui pengurusan pembajaan yang lebih tepat,” katanya

 

Selain membantu meningkatkan kecekapan penggunaan input pertanian, Dr. Ezrin berkata SOILPROP Mapper menyediakan pemantauan kesuburan tanah secara dalam talian dan peta kesuburan ladang yang informatif.

 

“Maklumat ini membolehkan petani membuat keputusan berdasarkan data, di samping membantu mengurangkan pembaziran baja dan mengoptimumkan kos pengeluaran.

 

“Aplikasi sistem itu turut berpotensi diperluas kepada pelbagai tanaman, termasuk padi, kelapa sawit, kelapa dan sayur-sayuran, bergantung pada kesesuaian penggunaan serta keperluan tanaman berkenaan,” katanya.

 

Pembangunan SOILPROP Mapper turut menerima pengiktirafan di peringkat inovasi menerusi pingat emas pada International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2024, Malaysia Technology Expo (MTE) 2012 dan BioMalaysia 2009.

XZKQQAw~