| Universiti Putra Malaysia

Kerjasama UPM–Maybank Perkasa Konservasi dan Kelestarian Durian Tempatan

 

SERDANG, 5 September 2026 – Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM)  mengambil inisiatif penanaman 100 pokok durian varieti D200 di Ladang 6, UPM dengan sokongan Malayan Banking Berhad (Maybank) menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

 

Menurut Pengarah PPP, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin, penanaman pokok itu bertujuan memastikan kepelbagaian varieti durian tempatan terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, penyelidikan serta pembangunan pertanian .

 

“Program ‘Akar & Harapan’  melibatkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada warga UPM dan Maybank, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan sumber genetik tanaman buah-buahan negara.

 

“Ia juga merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh usaha PPP dalam memelihara sumber pertanian dan membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih luas bersama pihak industri.

 

“Program ini diharap menjadi permulaan kepada kerjasama jangka panjang antara UPM dan Maybank dalam pelbagai bidang yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan pertanian, alam sekitar serta masyarakat,’’ katanya.

 

 

Beliau berkata, selain penanaman pokok, usaha seperti ini turut memberi nilai tambah kepada fungsi UPM sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan dalam memelihara khazanah pertanian negara untuk generasi akan datang.

 

“Konservasi varieti durian tempatan penting bagi memastikan sumber genetik tanaman tersebut terus tersedia untuk dimanfaatkan dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan teknologi pertanian.

 

“Usaha berkenaan juga selari dengan peranan UPM dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara menerusi pengurusan sumber pertanian yang mampan dan berterusan,’’ ujarnya.

 

Sementara itu, sokongan Maybank melalui program CSR berkenaan memperlihatkan peranan sektor korporat dalam menyokong usaha institusi pengajian tinggi untuk memelihara alam sekitar dan khazanah pertanian negara.

 

Turut hadir ialah Ketua Pengurusan Kualiti Aset dan Pemulihan Maybank, Encik Raymond Cheong Chee Wai; Penasihat Pengurusan Kualiti Aset Maybank, En. Alwi Ginen; Timbalan Pengarah PPP, Ts. Dr. Ahmad Suhaizi Mat Su serta pegawai dan warga UPM dan Maybank.

XZKUDA7~