| Universiti Putra Malaysia

Kod Tata Kelola Kesatuan Mahasiswa Perkukuh Integriti Kepimpinan Pelajar UPM

 

SERDANG, 23 Sep– Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh amalan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam kepimpinan mahasiswa menerusi pelancaran Kod Tata Kelola Kesatuan Mahasiswa pada Watikah Pelantikan Fasilitator Putra dan Majlis Legasi Kepimpinan Mahasiswa UPM di Auditorium Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan UPM.

 

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM Sesi 2025/2026, Nuqman Naufal Nor Azhari berkata, kod tersebut menjadi panduan kepada badan dan pertubuhan pelajar dalam memastikan pengurusan organisasi dilaksanakan secara telus serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

 

“Antara perkara yang diberi penekanan ialah pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan atau town hall sekurang-kurangnya sekali bagi setiap sesi kepimpinan, yang turut membuka ruang kepada badan pelajar lain untuk mengetahui dan melihat sendiri pengurusan MPP serta kesatuan mahasiswa.

 

“Apabila MPP sebagai badan utama menunjukkan keterbukaan melalui pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan, kita berharap badan-badan pelajar lain turut menjadikan perkara ini sebagai contoh dan melaksanakannya dalam organisasi masing-masing,” katanya.

 

 

Menurutnya, pembangunan kod berkenaan turut mengambil kira hasil penanda aras dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum disesuaikan dengan keperluan dan konteks UPM. 

 

Dalam pada itu, UPM merupakan universiti keempat yang mempunyai kesatuan mahasiswa selepas UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

 

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, Kod Tata Kelola Kesatuan Mahasiswa merupakan sebahagian daripada usaha pemerkasaan mahasiswa yang memberikan ruang dan kebebasan kepada pelajar untuk memimpin, namun kebebasan tersebut perlu disertai dengan akauntabiliti.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato' Sri Jailani Johari pula berkata, kod tersebut bukan sekadar dokumen, sebaliknya merangkumi aspek perlembagaan, tata kelola dan tata urus yang dibangunkan serta dirangka oleh mahasiswa sendiri bagi membentuk pemimpin yang memahami dan menghayati prinsip integriti serta tanggungjawab.

XZKULAK~