| Universiti Putra Malaysia

Reputasi UPM tarik minat pelajar lanjut pengajian

 

SERDANG, 27 Sept – Keyakinan terhadap reputasi akademik, kualiti pendidikan dan pengalaman positif bekas pelajar menjadi antara faktor yang mendorong pelajar memilih Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

Bagi Mok Jing Yu, 19, yang melanjutkan pengajian program Bacelor Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, berkata keputusan memilih UPM didorong oleh minat mendalam terhadap Bahasa Cina serta inspirasi daripada bekas pelajar sekolahnya yang turut melanjutkan pengajian di UPM.

 

“UPM memang universiti impian saya. Ramai senior saya melanjutkan pengajian di sini dan mereka banyak memberikan inspirasi serta menggalakkan saya untuk memilih UPM,” katanya.

 

Beliau yang berasal dari Kuantan, Pahang, berkata minat terhadap bahasa Mandarin yang dipupuk sejak di bangku sekolah selain penglibatannya sebagai pendebat bahasa Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMKRT), Kuantan, turut mendorongnya memilih bidang pengajian tersebut.

 

 

“Saya akan memanfaatkan peluang sepanjang pengajiannya di UPM dengan memperoleh keputusan akademik yang baik, meneroka hobi baharu serta berkenalan dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang,” katanya. 

 

Sebagai anak sulung dalam keluarga, Jing Yu mengakui pengalaman pertama berjauhan daripada keluarga dan meninggalkan kampung halaman demi melanjutkan pengajian merupakan satu cabaran yang menguji emosinya.

 

“Sudah tentu saya berasa sedih kerana ini kali pertama saya berjauhan daripada keluarga tetapi saya perlu kuatkan hati kerana ini sebahagian daripada proses kehidupan dan perjalanan untuk menuntut ilmu,” katanya.

 

 

Sementara itu, bagi pelajar Bacelor Perakaunan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), UPM, Ng Wai Min, berkata reputasi UPM sebagai universiti berprestij serta kedudukan SBE dalam bidang ekonomi dan perniagaan menjadi antara faktor yang mendorongnya memilih universiti itu.

 

“Saya memilih UPM kerana mengetahui reputasi universiti ini dan juga percaya SPE dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang baik untuk membantu saya mencapai cita-cita menjadi seorang akauntan,” katanya.

 

Ng, 19, yang berasal dari Selangor yang merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan berkata, keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan turut didorong oleh cita-citanya untuk mengikuti jejak langkah ibunya, Phang Saw Hoon yang bekerja sebagai akauntan.

 

 

“Saya sebelum ini mengikuti aliran sains ketika di sekolah menengah melihat pengajian perakaunan sebagai peluang untuk meneroka bidang baharu dan membina kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan,” katanya. 

 

Beliau berharap dapat memperoleh keputusan akademik yang cemerlang, menimba pengalaman sepanjang pengajian serta membina rangkaian persahabatan yang dapat menyokong perkembangan dirinya sebagai mahasiswa.

 

“Peluang melanjutkan pengajian di sini adalah sebagai langkah pertama dalam membina masa depan serta meneroka kemahiran insaniah serta mengembangkan potensi diri dalam bidang yang saya minat,” katanya.

XZKUNAP~